Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM) secara rasminya melancarkan trak pikap 1 tan menerusi JMC Vigus Pro serba baharu dengan harga mampu milik yang dijual bermula RM98,888.

JMC Vigus Pro dipasang di kilang moden Tan Chong Motor di Serendah, Selangor. Ia kini sudah boleh dipandu uji di semua 13 pengedar ATM di seluruh negara yang turut merangkumi rangkaian 13 bengkel perkhidmatan selepas jualan.


Bentuk luarannya, Vigus Pro diserlahkan dengan gril berbentuk heksagon bersaiz besar bersama kemasan krom, lampu utama nipis dan lampu nyalaan siang LED berbentuk C yang meningkatkan lagi profail bampar hadapannya. Tambahan pula pelindung pada bahagian bawah bampar.

Rekaan agresif itu diteruskan ke bahagian sisi dengan over fender dengan warna badan. Manakala garis badan yang menonjol dapat dilihat dari pintu hadapan ke lampu belakang 3D. Vigus Pro dipasang dengan sports bar bersama lampu brek ketiga, pemijak sisi, cermin sisi boleh dilipat secara automatik.


Rekaan ruang dalaman Vigus Pro dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden untuk memberikan pengalaman pemanduan yang sukar dilupakan. Ia hadir dengan stereng multi-fungsi bersama butang kawalan untuk sistem hiburan, kawalan jelajah dan panggilan suara menerusi sambungan Bluetooth.

Satu lagi ciri utama kabin Vigus Pro ialah penukar gear elektronik yang pertama dalam kelasnya, ia lazimnya ada pada kereta-kereta premium. Jika dibandingkan dengan tuil gear automatik tradisional, penukar gear elektronik kelihatan lebih kompak dan kemas pada konsol tengah.


Vigus Pro didatangkan dengan sistem hiburan yang terdiri daripada skrin sentuh warna bersaiz 8 inci, ketersambungan Bluetooth, pemain video MP5 dan kamera undur. Kemudahan lain termasuklah cermin sisi kuasa boleh dilipat dan tingkap yang boleh dioperasi dari jauh, selain fungsi pemanas pada cermin sisi.

Vigus Pro dikuasakan oleh enjin turbo diesel 2.0 liter Puma yang menampilkan sistem pancitan bahan api common-rail tekanan tinggi, pengecas turbo geometri boleh ubah, intercooler dan injap cooler bypass EGR. Ini menghasilkan kuasa 141PS pada 3,600rpm dan tork setinggi 340Nm bermula 1,500rpm sehingga 2,600rpm.


Enjin turbo diesel itu dipadankan bersama kotak gear automatik ZF 8-kelajuan yang terkenal dengan kecekapan dan prestasi lancar. Ia menawarkan penjimatan bahan api iaitu 7.8L/100km (ujian UNECE R101) sekali gus menjadikan Vigus Pro satu daripada trak pikap 1 tan paling jimat minyak yang ada dijual di Malaysia.

Prestasi off-road Vigus Pro disumbang oleh sistem 4WD yang dibangunkan oleh BorgWarner. Gandar belakang juga dipasang dengan kunci limited-slip differential Eaton yang boleh menyalurkan kuasa tork ke roda untuk memberikan cengkaman ketika roda mula tergelincir.


Sebagai tambahan, Vigus Pro dilengkapi ciri Hill Descent Control yang mengoperasikan brek kenderaan secara automatik apabila menuruni laluan curam (sehingga 8km/j). Ciri-ciri lain seperti Hill Start Assist, ABS dengan Electronic Brake-Force Distribution dan Electronic Stability Program dengan Traction Control turut hadir sebagai standard pada Vigus Pro.

JMC Vigus Pro ditawarkan dalam satu varian dengan empat pilihan warna membabitkan coklat, putih, perak dan hitam . Ia juga hadir dengan jaminan selama tiga tahun/100,000km, mana-mana tiba dahulu.