Membeli-belah dalam talian menjadi semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dengan penularan Covid-19 pula, pertumbuhannya semakin rancak dan meluas.

Justeru itu, UMW Toyota Motor (UMWT) membuka kedai dalam taliannya di dua platform e-dagang paling popular di Malaysia iaitu Lazada dan Shopee.

Pembeli yang berminat boleh mendapatkan tawaran-tawaran khas istimewa bagi model-model terpilih Toyota yang disediakan.

Dengan platform dalam talian berkenaan, Toyota Malaysia Flagship Stores akan dibuka 24 jam, tujuh hari seminggu dan pelanggan boleh berkunjung pada bila-bila masa sahaja.

Yuran tempahan yang dikenakan di dua kedai dalam platform berkenaan ialah serendah RM250. Bayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit atau pindahan wang secara elektronik dari akaun bank.

Yuran tempahan berkenaan adalah langkah pertama bagi proses pembelian, yang diikuti oleh layanan daripada penasihat jualan di cawangan sah Toyota berdekatan dengan pelanggan.

Sokongan perbualan juga ada disediakan dalam talian (Isnin-Jumaat, 9.30 pagi-5.30 petang) bagi pelanggan yang mungkin ada sebarang pertanyaan.

Promosi juga akan diadakan di kedai dalam talian berkenaan dari semasa ke semasa dengan tawaran penjimatan eksklusif.

Sebagai contoh, sedang berlangsung ketika ini ialah promosi istimewa bagi Toyota Fortuner (stok terhad) dengan penjimatan bernilai sehingga RM22,760 dan ia datang dengan khidmat servis berjadual percuma selama lima-tahun (tertakluk kepada terma dan syarat).

Tawaran istimewa (Untuk model 2019 terpilih sahaja) lain turut disediakan, misalnya bagi Toyota Innova, Toyota Harrier dan Toyota Hilux (stok terhad). Semua tawaran ini hanya sah bagi tempahan secara dalam talian sahaja melalui Toyota Flagship Stores di Lazada dan Shopee.