Watch
Dah cukup padu dengan enjin standard Honda Integra
Sebelum ini, drebar.my pernah memaparkan beberapa artikel ubah suai Honda Civic EJ6 dalam ruangan modifikasi.
Cuma jentera anda lihat ini, mungkin tampak lebih menyerlah berbanding yang lain, sekali gus tampak lebih ceria dalam komuniti EK Mugen.
Apa yang membuatkan ia menarik, adalah warna merah yang dicat pada luarannya dan lebih bergaya serta kelihatan gah dengan padanan kit badan Mugen Aero 96.
Buat pengetahuan anda, jentera yang menggunakan casis asal Honda Civic EJ6 sudah pun diperkuatkan dengan enjin B18C GSR.
Cuma proses ubah suai enjin itu tidak terlalu ekstrem apabila tidak dipadankan dengan peralatan berprestasi.
Jika ikut spesifikasi asal enjin itu, ia kepunyaan Honda Integra keluaran 1998 sehingga 1999 yang menyalurkan 178bhp dengan tork setinggi 171Nm pada 6,200rpm.
Jadi kuasa yang disalurkan oleh enjin standard itu sudah cukup bertenaga apabila mampu memberi prestasi terbaik berbanding rangkaian kuasa biasa.
Biarpun standard, ruang enjin itu disusun atur semula agar tampak kemas di mata pemiliknya.
Bagi melengkapkan lagi proses modifikasi itu, sistem suspensi boleh laras jenama Tein menjadi pilihan bagi jentera berkenaan. Ia juga dilaras ketinggiannya supaya memberi keselesaan serta pengendalian lebih baik kepada pemandunya.
Di sebalik rim Volk Racing, ia dipadankan dengan sistem brek Civic EK9 sekali gus memberi kuasa hentian lebih cekap berbanding sebelumnya.
Gaya pengendaliannya juga lebih tangkas selepas rim berkenaan dipadankan tayar Yokohama Advan Neova bagi memberi cengkaman lebih cekap di permukaan jalan raya
Malah, kehadiran spoiler hitam yang menerima gabungan material gentian karbon turut melengkapkan lagi gaya Honda Civic EJ6 itu.
Menjengah ruang dalamannya, ia sebenarnya sudah disalin dengan aksesori Civic EK9 termasuklah tempat duduknya.
Selain itu, beberapa aksesori Mugen digunakan membabitkan stereng, tombol gear, pedal, serta yang paling ketara adalah deretan meter Defi 3 beradik yang juga dari jenama sama.
Bagi membuatkan jentera ‘secantik’ itu, ia sudah pasti memerlukan kos yang tinggi kerana banyak komponen asal ditukar kepada model Civic EK9. Cuma drebar.my tidak dimaklumkan kos sebenar yang sudah dibelanja oleh pemiliknya.
Buat kaki kereta di luar sana, jika anda memiliki kenderaan menarik. Anda boleh menghantar pesanan di Facebook drebar.my.
Must-Watch Video