Dodge Charger R/T hitam yang dimiliki oleh Dominic Toretto merupakan salah satu jentera paling ikonik yang ditampilkan dalam francais Fast & Furious. Apa yang menarik, kereta ‘muscle’ itu kini boleh didapati dalam versi set Lego Technic.

Dijual pada harga $99 (RM427), model kereta itu didatangkan dalam skala 1:13 dan setiap set mengandungi sebanyak 1,077 bongkah. Apabila siap dipasang, ia mempunyai ukuran yang agak besar iaitu 39cm panjang, 16cm lebar dan 11cm tinggi.



Oleh kerana ia merupakan sebahagian daripada barisan Lego Technic, kereta permainan ini mempunyai beberapa bahagian yang boleh bergerak.

Sebagai contoh, apabila kereta ini digerakkan, setiap omboh di dalam enjin V8-nya akan bergerak manakala tali sawat yang memacu unit supercharger juga akan berputar. Sistem suspensi ‘wishbone’ dan sterengnya turut dikatakan berfungsi.



Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan beberapa komponen menarik seperti dua tangki nitrous oksida (NOS) yang terletak di dalam bonet belakang, dan tongkat pada bahagian bawah yang membuatkan kereta ini kelihatan seperti sedang melakukan aksi ‘wheelie’ seperti di dalam filem yang pertama.

Set Lego Technic Dom’s Dodge Charger ini kini dibuka untuk pra-tempahan di laman web Lego dan dijangka memasuki pasaran bermula 27 April ini.



Buat peminat Fast & Furious pula, mereka perlu menunggu lebih lama untuk menyaksikan filem yang kesembilan dalam siri itu. Ini kerana ia sepatutnya menemui pawagam pada 22 Mei 2020 namun wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia memaksa pihak produksi untuk menundanya ke tarikh baru iaitu 2 April 2021.