Antarabangsa

Ford pecah tradisi dengan hasil Mustang versi SUV elektrik

Erywan
19/11/2019
06:34 MYT
Buat pertama kalinya dalam tempoh 55 tahun, Ford memperkembangkan barisan Mustang dengan model selain Coupe, Convertible dan edisi istimewa. Model yang dimaksudkan adalah SUV elektrik sepenuhnya yang dikenali sebagai Mustang Mach-E.
Bakal memasuki pasaran menjelang akhir 2020, Mustang Mach-E akan ditawarkan dalam versi standard dengan pek bateri lithium ion berkapasiti 75.7kWh atau ‘extended range’ dengan bateri 98.8 kWh. Kedua-duanya boleh didapati dengan pacuan roda belakang (RWD) atau pacuan semua roda (AWD). Jika dilengkapi dengan pek bateri ‘extended range’, Mustang Mach-E boleh dipandu sejauh 482km bagi RWD atau 434km bagi AWD. Dengan pek bateri standard pula, jarak pemanduan yang didakwa oleh Ford adalah sejauh 370km bagi RWD atau 338km bagi AWD.
Ford juga akan menawarkan dua edisi prestasi tinggi yang mempunyai 459hp dan 830Nm. Ia bermula dengan versi GT yang dikatakan mampu memecut dari 0 hingga 96km/j dalam kurang empat saat, menjadikannya lebih pantas dari Porsche Macan Turbo. Sementara itu, versi GT Performance Edition mensasarkan Porsche 911 GTS dengan masa pecutan 0-96km/j sekitar 3.5 saat. Versi ini turut mendapat kelengkapan tambahan seperti sistem peredam MagnaRide.
Untuk pengecasan, Ford menawarkan stesen Connected Charging di mana pemilik boleh mendapat jarak pemanduan 32 km bagi setiap satu jam pengecasan melalui outlet 250 volt. Pengecas mudah alih yang disertakan dengan setiap pembelian Mustang Mach-E pula memberikan 14 km setiap jam menerusi outlet yang sama. Bukan itu sahaja, pemilik juga akan mendapat akses rangkaian pengecasan FordPass yang merangkumi 12,500 stesen pengecasan termasuk pengecas pantas DC di seluruh Amerika Syarikat. Dengan kemudahan ini, pemandu boleh mendapat jarak 93km dalam hanya 10 minit. Mustang Mach-E didatangkan dengan tiga mod pemanduan iaitu Whisper, Engaged dan Unbridled, setiap satu ditala dengan kawalan stereng, pencahayaan ambien dan ‘bunyi’ tersendiri. Turut disertakan adalah angkup brek aluminium Flexira yang dihasilkan oleh Brembo.
Selain itu, ia juga tampil dengan sistem infotainmen SYNC generasi baharu yang boleh diakses menerusi skrin sentuh berukuran 15.5 inci.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video