Antarabangsa
Generasi Keempat Toyota Harrier - Bentuk Lebih Segar, Casis Dan Barisan Enjin Baharu
Toyota memperlihatkan Harrier generasi keempat yang bakal diperkenalkan sepenuhnya pada Jun ini. Selain reka bentuk lebih segar, SUV mewah itu turut menampilkan casis dan barisan enjin baharu.
Satu peningkatan signifikan berbanding versi terdahulu, Harrier kini dibina di atas platform TNGA (GA-K) dengan struktur casis yang lebih kukuh dan pusat graviti lebih rendah. Ukuran dimensi model ini adalah 4,740mm panjang, 1,855mm lebar dan 1,660mm tinggi, manakala jarak roda adalah sepanjang 2,690mm.
Casis itu dipadankan dengan sistem suspensi yang terdiri daripada topang MacPherson di hadapan dan ‘double wishbone’ di belakang. Menurut Toyota, geometri suspensi itu ditala untuk mendapatkan keseimbangan antara prestasi pengendalian dan keselesaan.
Ini dibantu lagi menerusi kehadiran sistem stereng kuasa elektrik dan juga ciri Active Cornering Assist (ACA) yang direka untuk mengelakkan berlakunya ‘understeer’ ketika mengambil selekoh.
Dari segi pilihan enjin, Harrier kini hadir dengan enjin petrol dan hibrid. Bagi versi petrol, ia dikuasakan oleh enjin Dynamic Force 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 171PS pada 6,600 rpm dan 207Nm pada 4,800rpm. Enjin itu dipadankan dengan transmisi Direct Shift-CVT dan boleh didapati dalam versi pacuan roda hadapan serta 4WD.
Sementara itu, satu lagi pilihan adalah enjin hibrid yang menampilkan gabungan enjin Dynamic Force 2.5-liter dengan 178PS/221Nm dan motor elektrik pada gandar hadapan dengan 120PS/202Nm.
Seperti versi petrol, varian hibrid ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan dan 4WD. Versi 4WD mendapat tambahan motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 54PS dan 121Nm. Kedua-dua versi berkenaan dilengkapi dengan E-CVT.
Aspek keselamatan terdiri daripada Toyota Safety Sense yang merangkumi pelbagai ciri keselamatan pra-perlanggaran termasuk Intelligent Clearance Sonar with Parking Support Brakes. Ia dikatakan dapat mengurangkan kerosakan akibat perlanggaran pada kelajuan rendah.
Selain itu, Harrier turut mendapat satu ciri baharu iaitu cermin dalaman digital (Inner Digital Mirror) yang melakukan rakaman hadapan dan belakang kenderaan semasa memandu.
Satu lagi ciri menarik adalah outlet kuasa 100-volt/1500-watt yang boleh digunakan untuk menguasakan perkasakan elektrik dan juga sebagai sumber kuasa semasa ketiadaan kuasa elektrik dan situasai kecemasan lain.
Must-Watch Video