Antarabangsa
Hennessey Performance Ubah Ford F-150 Jadi Venom 775
Hennessey Performance (Hennessey) dari Texas yang dikenali dengan kerja-kerja kustom kini tampil sekali lagi dengan varian Ford F-150, diubah suai dan dijenamakan sebagai Venom 775.
Trak pikap dengan modifikasi secara ekstensif ini dijual secara eksklusif melalui pihak pengedar Brown Lee Ford di Morrison, Tennessee di Amerika Syarikat. Setiap satu Venom 775 lahir daripada varian F-150 dengan enjin 5.0 liter Coyote V8 yang menjana kuasa standard 395hp.
Hennessey membuka hud dan memasang seunit pengecas lampau (supercas) 2.9 liter supercharger, intercooler air-minyak, sistem kemasukan udara tekanan tinggi, naik taraf injektor dan bahan api selain sistem ekzos keluli tahan karat baharu.
Selepas semua komponen dipasang, talaan ECU dibuat hingga menjadikan trenkuasa mampu menjana tidak kurang daripada 775hp @ 7,000rpm. Hennessey menyatakan ini membantu Venom 775 membuat pecutan hingga 60 batu (96km/j) dalam masa 4 saat sebelum mencapai kelajuan 186 km/j (sekitar 12 saat).
Selepas selesai menambah baik enjin, juruteknik Hennessey memberi sentuhan pada aspek badan Ford F-150 dengan mengenakan kit tingkatkan ketinggian sebanyak enam inci, memasukkan rim 20 inci dan tayar 35 inci jenis off-road.
Sistem brek ditingkatkan dengan angkup enam omboh dan cakera 15.1 inci pada roda depan, membantu mengawal jentera semasa pemanduan dengan lebih cemerlang. Arca roda turut menerima sentuhan dan bampar asal digantikan kepada produk Hennessey sebelum ditambah bar lampu LED.
Jika mahu, pelanggan boleh memilih bampar belakang dan hud kustom bersama skup kemasukan angin dengan balutan material kulit atau suede dalam kabin. Pakej naik taraf ini berharga AS$53,500 (RM225,422) dan ini belum kira harga trak Ford F-150 atau tambahan lain.
Must-Watch Video