Antarabangsa
Honda N-ONE, Sudah Masuk Facelift Yang Kedua
Kei-car popular keluaran Honda iaitu N-One sudah diberikan facelift untuk model tahun 2020. Ini adalah kemaskini yang kedua untuk model itu selepas yang pertama pada 2017, iaitu lima tahun selepas ia dilancarkan.
Dari segi penampilan, bentuk asal N-One dikekalkan namun model cilik itu diberikan wajah yang lebih segar menerusi lampu LED baharu dengan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk bulat dan gril yang direka semula. Lampu belakang turut direka semula dengan grafik yang lebih terperinci.
Honda akan menawarkan tiga varian N-One iaitu Original, Premium dan RS. Setiap varian mempunyai rekaan gril dan bampar yang tersendiri, dengan tambahan lampu kabus LED pada bampar hadapan untuk Premium dan RS.
Sebagai pilihan yang lebih sporty, varian RS menampilkan kemasan hitam, spoiler belakang dan rim aluminium berukuran 15 inci berwarna hitam matte. Tidak dilupakan adalah lencana ‘RS’ pada gril dan tailgate.
Masuk ke bahagian dalam, papan pemuka N-One diberikan susun atur yang lebih kemas berbanding sebelum ini dengan skrin sentuh lebih besar yang membolehkan pemandu mengakses pelbagai fungsi kenderaan. Selain itu, tempat duduk hadapan jenis bangku sudah digantikan dengan kerusi individu.
Seperti model terdahulu, N-One facelift dijangka mengekalkan enjin turbo 660cc tiga silinder yang menjana 63hp. Varian Original dan Premium boleh didapati dalam versi pacuan roda hadapan atau pacuan empat roda (4WD) dengan CVT, manakala varian RS pula hanya ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan dengan pilihan transmisi CVT atau manual enam kelajuan.
Dari segi keselamatan pula, ketiga-tiga varian mendapat Honda Sensing secara standard. Ia merangkumi ciri-ciri seperti Collision Mitigation Braking, Adaptive Cruise Control, Road Sign Assist, Lane Keeping Assist System dan Automatic High Beam.
Must-Watch Video