Isuzu Malaysia merintis jalan tersendiri dalam usaha membantu pelanggan D-Max dengan menawarkan moratorium bagi bayaran ansuran pembiayaan kenderaan baru yang dibeli bermula 1 Jun hingga 31 Ogos 2020.


Kempen Penangguhan Ansuran Isuzu itu adalah program pertama seumpamanya bagi segmen trak pikap supaya pelanggan dapat menjana pendapatan mereka dengan mengoptimumkan penggunaan Isuzu D-Max untuk kerja sepanjang tempoh penangguhan tiga atau enam bulan berkenaan, sebelum mereka perlu memikirkan tentang bayaran ansuran kenderaan terbabit.


Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan, Masayuki Suzuki, berkata, matlamat moratorium berkenaan ialah untuk membantu rakyat Malaysia menyambung dan meneruskan kehidupan mereka sepanjang tempoh pemulihan ini.

"Dengan menawarkan moratorium ini, Isuzu berharap pelanggan akan mampu untuk kembali kepada keadaan normal mereka seperti sebelum ini secepat mungkin," Katanya.


Kempen berkenaan bekerjasama dengan Public Bank Berhad, merangkumi hampir semua model dalam barisan D-Max sedia ada dengan jumlah pinjaman sehingga 90 peratus bagi tempoh maksimum 84 bulan.

Jumlah minimum pinjaman yang layak untuk kempen ini ialah RM20,000. Pelanggan boleh memilih model Isuzu D-Max yang sesuai dengan keperluan dan peruntukan mereka daripada keseluruhan barisan D-Max yang ada dalam pasaran Malaysia.


Barisan Isuzu D-Max terbaru kini dilengkapi enjin 1.9 liter Blue Power, unit berteknologi maju dengan kapasiti paling kecil bagi trak pikap setakat ini. Untuk itu, ia menikmati cukai jalan yang paling murah bagi kenderaan dalam kelas sama. Enjin itu juga memberikan prestasi dan kecekapan penggunaan bahan api yang lebih baik berbanding unit 2.5 liter.

Untuk senarai lengkap model-model Isuzu D-Max dan pengedar berdekatan anda, layari https://isuzu.net.my/pickup/ atau laman Facebook https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/.