Antarabangsa
Jangan Tertipu! Suzuki Hayabusa Ini Sebenarnya Bajaj Dominar 400
Sekali pandang memang mirip Suzuki Hayabusa iaitu sportbike legenda satu ketika dahulu. Namun, kita semua tertipu kerana hanya penampilan kosmetik Hayabusa namun di bawah lapisan kulit jentera itu tersembunyi casis Bajaj Dominar 400.
Bajaj Dominar 400 inspirasi Suzuki Hayabusa itu adalah hasil sentuhan GM Custom di Delhi, India. GM Custom memilih ekzos yang besar untuk disepadankan dengan saiz badan jentera berkenaan.
Ekzos yang besar itu ditutupi dengan semburan cat hitam berkilat bersama kemasan krom lalu dipadankan dengan konsol instrumen inspirasi Hayabusa dan klip bar hendal warna hitam bersinar.
Motosikal itu didatangkan dengan brek cakera berkembar di depan, namun bahagian kiri hanyalah penggayaan semata-mata.
Rim aloi pada kedua-dua roda juga disembur dengan cat hitam. Manakala aliran fairing tepi disisip kemas pada ruangan fairing depan dengan lampu utama tunggal. Visor depan yang besar bagi melindungi penunggang daripada terpaan angin ketika kelajuan tinggi.
Replika Hayabusa itu menggunakan model Dominar tahun 2018 dengan enjin bersesaran 373.2cc silinder tunggal pancitan bahan api berkuasa 35hp dan tork 35Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan.
Sementara suspensi depan masih menggunakan fork terbalik (USD) dan monoshock di belakang. Kemasan dan grafik pada badan jentera itu begitu kemas sehinggakan anda tidak perasan bahawa model itu bukanlah jentera Hayabusa yang asli.
Must-Watch Video