Kejuaraan LiquiMoly US Legend Cars 2020 akan bermula Mac ini dengan enam pusingan dijadualkan di litar oval (bujur) di T-City Gopeng Motor Speedway di Perak.

Pengasas US Legend Cars Malaysia, Ben Tan berkata, kejohanan yang diadakan di satu-satunya litar bujur di Malaysia itu bakal menampilkan kelas Legend untuk pemandu amatur serta profesional dan kelas Bandolero untuk kanak-kanak berumur lapan hingga 15 tahun.

Ben berkata, pusingan pertama akan diadakan pada 13 Mac, diikuti pusingan kedua dari 17 hingga 18 April dan pusingan ketiga dari 19 hingga 20 Jun.

Pusingan keempat pula katanya akan bermula dari 17 hingga 18 Julai diikuti pusingan kelima dari 21 hingga 22 Ogos dan berakhir dengan pusingan keenam dari 25 hingga 26 September.

“Pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2018, perlumbaan litar lumba bujur masih pada peringkat awal di Malaysia dan rantau Asia tetapi tahap sambutan bagi peminat sukan ini terus meningkat.

“Kami sangat gembira dapat menarik penyertaan pelumba muda dan berpengalaman sejak dua tahun lepas untuk menyertai sukan mencabar ini, katanya.

Menurutnya, kelas Legend akan dibahagikan kepada tiga kategori untuk pemandu novis, kebangsaan dan antarabangsa, manakala kelas Bandolero pula untuk pemandu novis.

“Bagi kelas Legend, peserta akan berentap dengan memandu jentera yang dikuasakan oleh enjin Yamaha FJ1200 dengan 132bhp, dengan berat minimum untuk kereta dan pemandu seberat 590 kg.

“Sementara itu, kereta lumba kelas Bandolero menampilkan enjin Briggs & Stratton Vanguar berkuasa 30 bhp dengan berat minimum 340 kg,” katanya.

Menurut Ben, yuran penyertaan untuk kelas Legend dan Bandolero masing-masing sebanyak RM3,000 dan RM2,000 setiap pusingan, termasuk kos persiapan dan sewa kereta lumba, minyak, tayar, ped brek, sokongan teknikal serta akses ke suite hospitaliti.

Katanya, US Legend Cars Malaysia kini dalam proses mewujudkan akademi perlumbaan kereta selain menyediakan infrastruktur khusus untuk memudahkan pembangunan pasukan perlumbaan serta penjualan kereta lumba.