Lamborghini Huracan antara jentera berprestasi tinggi yang cukup gah bagi pemiliknya namun adakala ada yang merasakan ia masih boleh ditingkatkan.

Apa yang anda lihat ini bukan sekadar perubahan wajah dengan tambahan kit badan aftermarket tetapi satu binaan yang agak luar biasa.


Jentera ini dipanggil LP1200 Strada dan diubah suai oleh Zyrus Engineering dari Norway. Ini sebenarnya sebuah jentera yang sah untuk kegunaan di jalan raya biasa. Varian Huracan yang digunakan untuk transformasi ini ialah LP640-4 Performante.

Ia mengambil inspirasi dan pengalaman perlumbaan model Zyrus LP1200 iaitu versi Lamborghini Huracan Super Trofeo yang diperkenalkan sebelum ini. Zyrus LP1200 ditambah komponen gentian karbon dan turbo berkembar untuk memastikan enjin 5.2 litre V10 mampu menghamburkan 1,200bhp.

LP1200 Strada menerima gaya seakan Kejuaraan Scandinavian GT+ dan turut dipasang dua unit turbo untuk mengekstrak kuasa maksimum sebanyak 1,200hp dari enjin V10.

Jika Huracan standard, kuasanya cuma 631hp dan talaan baru menjadikannya dua kali ganda lebih bertenaga. Sebenarnya, kuasa standard untuk kegunaan biasa ialah 900hp dan selepas menekan satu butang untuk mode trek, ia boleh meningkat kepada 1,200hp


Dengan spoiler besar di belakang, jentera ini boleh hasilkan downforce 2,010 kilogram (kg) jika memecut pada kelajuan 200 kilometer sejam (km/j).

Kereta LP1200 Strada ini bukan dihasilkan dalam masa seminggu tetapi selepas dua tahun menjalani pelbagai ujian dan 6,000km di litar. Berat jentera ini ialah 1,427 kg iaitu lebih ringan 126kg berbanding varian Performante standard.

Zyrus menukar tidak kurang 600 komponen dari stok standard Performante untuk hasilkan LP1200 Strada. Antaranya, sistem pancitan bahan api baharu, penyejuk minyak spesifikasi sukan bermotor, radiator, ECU jenis Motec dan pengecas turbo.


Hanya 12 unit kereta ini akan dibina dan kalau mahu membeli, harganya ialah €595,000 (RM2.94 juta) untuk satu unit.