Antarabangsa

Manhart Kini Mula Bikin Toyota GR Supra, Lagi Mantap Daripada BMW Z4

gempak
Erywan
20/04/2020
06:30 MYT
Sponsor Banner
Manhart Kini Mula Bikin Toyota GR Supra, Lagi Mantap Daripada BMW Z4
Selepas memperkenalkan pakej naik taraf untuk BMW Z4 M40i pada tahun lalu, Manhart kini melancarkan pula pakej untuk kembar Jepun model itu iaitu Toyota GR Supra.
Walaupun kedua-dua jentera itu dikuasakan oleh enjin B58 keluaran BMW sama, GR Supra dilihat mendapat peningkatan kuasa yang lebih tinggi sedikit berbanding Z4.
Menerusi penggunaan modul kuasa Mhtronik Powerbox, enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris itu kini menghamburkan 450hp dan 650Nm, 110hp dan 150Nm lebih tinggi berbanding versi standard.
GR Supra talaan Manhart ini bukan sahaja lebih berkuasa, malah ia juga mempunyai bunyi yang lebih garang. Ini selepas dipadankan peredam keluli tahan karat serta muncung yang boleh didapati dengan kemasan berwarna hitam atau gentian karbon.
Selain itu, Manhart turut menawarkan sistem ‘downpipe’ dengan atau tanpa penukar pemangkin, di samping paip pengganti untuk penapis zarah petrol atau Otto Particulate Filter (OPF).
Untuk penampilan lebih bersesuaian dengan kuasa yang ada, pelanggan boleh mendapatkan set vinil merangkumi jalur hiasan ala sukan permotoran, serta rim Manhart Concave One 20 inci.
Dibalut tayar berukuran 265/30 dan 285/30, rim berkenaan ditawarkan dengan kemasan hitam berkilat atau hitam matte. Turut ditawarkan adalah sistem suspensi H&R atau KW yang sudah ditala oleh Manhart sendiri.
Akhir sekali, pelanggan yang ingin membuang pemangkin pada sistem ekzos mereka serta menyahaktifkan sistem Start/Stop dan bunyi ekzos palsu yang disalurkan ke dalam kabin boleh mendapatkan pakej Emulator Control Module.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live