Apabila bercakap tentang sedan berprestasi tinggi, biasanya BMW M5 dan Mercedes-AMG E63 akan menjadi antara yang model pertama terlintas di fikiran.

BMW sebelum ini memperkenalkan M5 dan M5 Competition versi facelift mereka baru-baru ini dan kini Mercedes pula menyusul dengan E63 serta E63S baharu.

Ditawarkan dalam versi sedan dan wagon, kedua-dua E63 dan E63S dikuasakan oleh enjin 4.0-liter V8 yang diperkuatkan lagi dengan kehadiran dua unit pengecas turbo.


Sayangnya, tiada peningkatan kuasa bagi model facelift ini. Versi asas mempunyai 571PS dan 750Nm, manakala versi S pula mempunyai 612PS dan 850Nm.

Enjin itu digandingkan dengan transmisi AMG Speedshift sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+.

Pecutan 0-100km/j dilakukan dalam 3.5 saat bagi E63 dan 3.4 saat bagi E63S, manakala kelajuan maksimum pula dihadkan secara elektronik pada 250km/j.


Bagaimanapun, pakej AMG Driver akan membuang sekatan itu bagi membolehkan sedan ini memecut sehingga 290km/j bagi E63 atau 300km/j bagi E63S.

Untuk perbandingan, M5 yang mempunyai 600PS dan 750Nm memerlukan 3.4 saat untuk memecut dari 0 hingga 100km/j, manakala M5 Competition dengan 625PS memerlukan 3.3 saat.

Kuasa yang lebih tinggi turut memberikan BMW kelebihan dari segi kelajuan maksimum, di mana model ini boleh memecut sehingga 305km/j jika dilengkapi dengan pakej M Driver.


Seperti A45S, E63S didatangkan dengan mod pemanduan Race yang membolehkan pemandu melakukan ‘drift’.

Pemilik E63 juga boleh mendapatkan mod ini menerusi AMG Dynamic Plus Package yang ditawarkan secara pilihan. Mod-mod pemanduan lain yang ditawarkan adalah Comfort, Sport, Sport+, Slippery dan Individual.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi udara AMG Ride Control+ dan peredam adaptif.


Sistem brek AMG Carbon Ceramic yang ditawarkan sebagai opsyen memberikan cakera brek yang lebih besar yang berukuran 402mm di hadapan dan 360mm di belakang.

Dari aspek penampilan, E63 dan E63S boleh dibezakan dengan varian lain menerusi kit badan AMG yang sporty, jeriji Panamericana serta empat muncung ekzos berkembar yang masing-masing berukuran 90mm.

Di dalam, perubahan paling besar adalah stereng AMG yang didatangkan dalam reka bentuk terkini.