Ramai di antara kita pernah melihat penggantian enjin standard kepada sesuatu rangkaian kuasa lebih bertenaga. Namun, ini sesuatu yang baharu bagi kami apabila sebuah kereta Mini Cooper dengan kehadiran enjin LS.

Ia juga bukan model MINI generasi baharu, tetapi versi zaman dahulu kala seperti yang dipandu oleh Mr. Bean.



Menariknya, kereta ini dibawa ke Holley LF Fest X (10 tahun) oleh Dario Gaiga dari Kanada. Ini adalah sebuah model Austin Mini tahun 1977. Dia memandu selama 18 jam dari Kanada ke acara LF Fest.

Dario dalam satu video temubual Holly LS Feat menyatakan dia mahu membina sebuah jentera street 1970-an dengan teknologi moden LS dalam kereta buatan Britain.



Ia boleh dilihat dengan pemegang tombol gear dicipta menggunakan omboh, gugusan meter diluar cermin hadapan dan penggunaan peti pos surat sebagai bolong kemasukan angin.

"Saya tidak membina sebuah kereta drag, tetapi sebuah jentera ‘burnout’ dan dalam masa 1 minit 45 saat, satu set tayar sudah habis sepenuhnya. Jika terlebih 10 saat lagi, tayar itu akan meletup," katanya.



Dario sebenarnya membina kereta itu sendiri bermula pada Februari lalu di bengkelnya. Proses menyiapkan kereta asal menjadi sebegini adalah selama tiga bulan.

Jika dilihat, keadaan badan kereta itu masih ada kesan karat, cat merekah dan dia seolah-olah mahu Mini itu kekal dengan keadaan asalnya. Ruang dalamnya bukan diidamkan semua orang, tetapi bagi sebilangan kecil penggemar kuasa.



Enjin LS yang digunakan adalah 4.8 liter dan ia jelas terkeluar daripada ruangan enjin. Kotak gear cuma tiga kelajuan automatik. Sistem radiator pula berada di bawah kereta dengan menyalurkan kuasa sehingga 600hp.

Seperti anda tahu, Mini klasik sebegini tidak banyak ruang untuk anda bermain jadi kena bijak menyusun dan merancang.



Kereta berkenaan tidak menggunakan minyak petrol kerana ia akan menyebabkan janaan haba lebih tinggi. Oleh itu, Dario menggunakan metanol yang diisi dalam sebuah tangki besar 30 liter di dalam but belakang.

Brek cuma ada pada roda hadapan. Di belakang, tiada sistem brek. Mengapa begitu, sebab ini kereta burnout.



Sumber: Youtube Hoonigan AutoFocus/ Facebook Holley LF Fest X