Antarabangsa

MINI John Cooper Works GP banyak ‘jajan’ luaran untuk tampak agresif dan mampu pecut 265km/j

gempak
Erywan
25/11/2019
02:15 MYT
Sponsor Banner
MINI John Cooper Works GP banyak ‘jajan’ luaran untuk tampak agresif dan mampu pecut 265km/j
Persaingan di dalam segmen ‘hot hatch’ kini menjadi lebih sengit dengan kehadiran MINI John Cooper Works (JCW) GP baharu. Ditawarkan dalam versi tiga pintu sahaja yang membuat kemunculan sulungnya pada acara Los Angeles Auto Show 2019.
Menurut MINI, JCW GP adalah model produksi paling laju pernah dihasilkan oleh syarikat itu. Ia mempunyai 306hp dari 5,000 hingga 6,250 rpm dan 450 Nm dari 1,750 hingga 4,500 rpm, yang dibekalkan oleh enjin 2.0 liter empat silinder TwinPower Turbo. Dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan dan ‘differential’ mekanikal pada gandar hadapan, jentera cilik ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.2 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 265km/j.
Seperti yang anda boleh lihat, JCW GP mempunyai penampilan lebih agresif berbanding model JCW biasa dengan gerbang roda lebar diperbuat daripada CFRP dan spoiler belakang besar. Rim John Cooper Works berukuran 18 inci serta kemasan merah pada bampar, jeriji dan spoiler menyerlahkan lagi imej sporty yang dibawa oleh model ini. Di dalam, anda akan menemui tempat duduk sport John Cooper Works, stereng dengan balutan kulit Nappa dan pedal penukar gear yang diperbuat daripada besi. Kerusi belakang dikeluarkan dan digantikan dengan bar penstabil aluminium berwarna merah, manakala penebat bunyi dikurangkan bagi tujuan pengurangan berat.
JCW GP dilengkapi dengan sistem suspensi khas dengan peredam dan penstabil yang ditala khusus. Ini bukan sahaja mengurangkan ketinggian sebanyak 10mm berbanding model JCW biasa, malah dikatakan dapat mengurangkan kesan olengan badan. Sementara itu, sistem brek pula terdiri daripada cakera berlubang berukuran 360mm X 30mm yang digabungkan dengan angkup empat omboh di hadapan dan angku omboh tunggal di belakang. Turut disertakan adalah sistem ekzos paip lurus dengan muncung berkembar berukuran 90mm.
Mereka yang berminat dengan model ini perlu cepat kerana MINI hanya akan mengeluarkan 3,000 unit sahaja. Harga rasmi masih belum diumumkan namun terdapat laporan yang mengatakan harganya bermula $44,900 (RM187,030).
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live