MINI, jenama automotif premium kompak di Malaysia memperkenalkan kereta MINI Elektrik baharu buat pertama kali di negara ini, sekali gus meluaskan lagi segmen elektrik premium dalam portfolio MINI.

Dari segi rupanya, ia sama seperti MINI Cooper S, cuma diserlahkan dengan elemen warna Energetic Yellow yang berjiwa muda.

Ia juga hadir dengan bampar dan jeriji radiator yang khusus untuk model berkenaan dalam warna Vigorous Grey, berserta Lencana E berwarna kuning. Malah, bilah jeriji hadapan akan ditawarkan dalam dua warna: Vigorous Grey atau Energetic Yellow.


Dengan pakej ‘Lights’, MINI Elektrik Baharu dilengkapi dengan lampu hadapan Matrix LED, serta lampu belakang LED dengan gubahan Union Jack yang ikonik.

Bahagian sisi, MINI Elektrik Baharu menampilkan geometri pelitup khas, Lencana E pada sisi, serta penutup cermin sisi dengan struktur aerodinamik yang optimum dalam warna Hitam atau Energetic Yellow.


Pada masa sama, MINI Elektrik Baharu didatangkan dengan set roda MINI Electric Power Spoke bersaiz 17 inci dalam dwitona dengan tayar ‘run flat’.

Belakang, jentera baharu ini memperlihatkan komponen penutup pengecasan dengan Lencana E yang mengikut warna tubuh kenderaan yang dipilih. Pemegang pintu but dalam warna Vigorous Grey turut mewujudkan kontras yang menawan.


Lencana model dan Lencana E dengan penggayaan rona kuning juga hadir sebagai standard, berserta bampar belakang yang khusus dengan komponen peresapnya.


Dalaman Yang Menawan

Ruang dalamannya tampil dengan rekaan menawan dan eksklusif untuk kenderaan ini. Rekaan spesifik bagi model ini merangkumi MINI Electric Cockpit Fascia, butang Mula/Henti MINI Electric dalam warna Kuning, hamparan lantai velor MINI Electric, tuil pemilih elektronik dengan gubahan ‘Electric’, serta suis togol pemulihan tenaga brek.

Pemandu serta penumpang boleh menikmati ciri-ciri keselesaan dan penggayaan yang ditawarkan menerusi penyaman udara automatik dua zon, kerusi Leather Cross Punch dalam warna Carbon Black serta pencahayaan ambien 12 warna iluminasi MINI.

Stereng sport berkulit dengan multifungsi, konsol tengah yang kini berkedudukan lebih tinggi, termasuk brek parkir elektrik terintegrasi juga ditawarkan sebagai standard dalam kenderaan ini. Memelihara dimensi yang sama seperti MINI Cooper S, ruang muatan MINI Elektrik Baharu juga berkapasiti 211 liter dan boleh dinaikkan kepada 731 liter.


Ia juga dilengkapi dengan Papar Pandu (Head Up Display) dan menawarkan hiburan muzik bertaraf premium dalam bentuk Sistem 12 Pembesar Suara Harman Kardon. Hiburan tanpa henti dalam kenderaan ini disumbang oleh fungsi pengecasan telefon bimbit tanpa wayar.

Bagi sistem navigasi, ia hadir dengan aplikasi MINI Connected yang lengkap, ia merangkumi Teleservices, Servis Jarak Jauh (Remote Services), Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call), MINI Dalam Talian (MINI Online) dan Apple CarPlay.


Prestasi Yang Terbaik

Dari segi prestasinya, ia dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa yang tinggi dibangunkan oleh BMW Group yang mampu menjana 184hp dan tork sehingga 270Nm, selain dilengkapi bateri 12 modul berbentuk T hadir dengan kapasiti bersih berjumlah 28.9 kWj.

Ia mampu mencatat kelajuan tertinggi mencecah 150 km/j dan jarak operasi sejauh 234 km (WLTP) atau 270 km (NEDC). Jentera ini juga mampu membuat pecutan abad dalam masa 7.3 saat.

MINI Elektrik Baharu menawarkan pelbagai alternatif pengecasan, sama ada di rumah mahu pun fasiliti pengecasan awam.


Ketika mengecas di stesen pengecasan DC, MINI Elektrik Baharu hanya memerlukan kira-kira 36 minit untuk dicas daripada kapasiti bateri sifar sehingga 80%. MINI Wallbox Plus menawarkan pengecasan sehingga 80% dalam tempoh dua jam setengah, sama seperti di stesen pengecasan awam.

Di rumah, jentera elektrik ini boleh dicas sehingga 80 peratus dalam masa 12 jam menggunakan kabel pengecasan kontingensi berwarna kuning yang ditawarkan bersama kenderaan tersebut. Progres pengecasan MINI Elektrik Baharu boleh dilihat di bahagian dalam komponen penutup titik pengecasan.


Harga


Ia dijual pada harga bermula RM218,380.78. Namun dengan “Balloon Financing” daripada BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan MINI Elektrik Baharu bermula daripada RM 2,421 sebulan (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80 peratus bagi tempoh lima tahun).

MINI Elektrik Baharu hadir dengan Waranti Tanpa Had Perbatuan Selama 4 Tahun oleh MINI, Waranti Bateri Voltan Tinggi 8 Tahun / 100,000 KM dengan Servis Berjadual Percuma.