Tempatan

Moto Guzzi V7 Stone Centenario Edition, Edisi Terhad Ulang Tahun Ke-100 Jenama Itu, Harga Bermula RM72,900

gempak
Erywan
23/10/2021
04:39 MYT
Sponsor Banner
Moto Guzzi V7 Stone Centenario Edition, Edisi Terhad Ulang Tahun Ke-100 Jenama Itu, Harga Bermula RM72,900
Didi Resources, pengedar rasmi motosikal Moto Guzzi di Malaysia memperkenalkan model baharunya menerusi Moto Guzzi V7 Stone Centenario Edition sempena menyambut ulang tahun jenama berkenaan.
Bagi membuatkan ia unik, Moto Guzzi menghasilkan edisi terhad bagi model berkenaan dengan dilengkapi corak grafik Centennial.
Rangkaian kuasanya menggunakan enjin berprestasi tinggi bersesaran 850cc, yang mana ia menyalurkan 65hp dan menyamai kuasa V85 TT.
Enjin yang dihasilkan di Mandello itu adalah versi baharu dan moden dengan menawarkan prestasi lebih baik. Kuasanya lebih 25 peratus berbanding enjin sebelum ini dengan peningkatan 7hp serta 16Nm.
Penampilannya pula, ia menggunakan panel sisi, mudgad belakang dan sistem ekzos baharu yang membuatkan ia tampak lebih menarik.
Dengan penampilan yang klasik, beberapa kemasan warna hitam membaluti beberapa komponen membabitkan rim, suspensi hadapan, ekzos dan enjin. Tempat duduknya juga dibaluti seakan-akan kulit alcantara yang dijahit dengan benang warna berbeza.
Kerangkanya juga sudah dipertingkatkan dengan beberapa elemen terutama pada bahagian hadapan selepas menggunakan sepasang penyerap hentak baharu untuk memberi tunggangan lebih selesa.
Biarpun gaya klasik, ia juga dipadankan dengan ciri moden seperti motosikal yang ada di pasaran masa ini seperti menggunakan sistem lampu LED dengan lampu siang berbentuk logo helang Moto Guzzi. Pada masa sama, ia turut dilengkapi dengan kluster instrumen baharu.
Sementara itu, Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo berkata, sejak tahun 2017, pihaknya komited untuk membangunkan jenama Moto Guzzi di Malaysia dengan menganjurkan pelbagai aktiviti gaya hidup kepada pemiliknya.
“Sempena sambutan ulang tahun ke-100 ini, Moto Guzzi Clan menyertai Eagle Ride 2021 dari Putrajaya ke Genting bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan jenama ini,” katanya.
Berminat untuk Moto Guzzi V7 Stone Centenario Edition ini, boleh anda miliki pada harga RM72,900 seunit. Memang bergaya!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live