Sekilas
- Konsert ulang tahun ke-30 Spider, Spideraya, di Idea Live Damansara menampilkan persembahan 'raw' dan improvisasi yang menghidupkan semula suasana gig dengan tenaga yang kuat dan santai.
- Lagu-lagu klasik Spider yang dinyanyikan semula mengaktifkan arkib kenangan kolektif serta menonjolkan penggunaan bahasa sehari-hari yang membawa makna mendalam dalam lirik mereka.
- Spideraya bukan sekadar konsert ulang tahun, tetapi juga proses mengarkibkan sejarah dan warisan muzik Spider yang terus hidup dalam ingatan dan budaya peminat mereka.
Ada sesuatu yang tidak boleh diperoleh sepenuhnya melalui platform penstriman seperti Spotify, YouTube atau CD. Ia dipanggil sebagai kehadiran fizikal.
Kehadiran fizikal itu pula membuat anda bergabung dalam sebuah ruang bukan hanya bersama artis untuk mendengar suara secara langsung atau melihat reaksi orang di sebelah anda serta merasakan bass, gitar, drum dan instrumen lain bersama bunyi sorakan sekaligus perubahan tenaga ruang tetapi untuk merasakan euforia yang didapatkan dalam sebuah konsert.

Dan euforia tersebut didapatkan dengan sangat ‘besar’ menerusi konsert malam ulang tahun ke-30 Spider yang dinamakan Spideraya di Idea Live Damansara, hujung minggu lalu.
Ada banyak perkara yang ingin disentuh dalam artikel ini tentang Spider, metafora dalam karya-karya mereka, riwayat seni serta perayaan 30 tahun yang berlangsung penuh warna lalu menjadi ephemeral archive atau arkib sementara.
Jadi, penulis mahu mulakan terlebih dahulu dengan betapa ‘jahat’nya persembahan Spider yang terdiri daripada Tam, Iss, Aie dan Pown di hadapan ribuan peminat mereka selama lebih dua jam konsert berlangsung.
Jika peminat hadir dengan ekspektasi melihat kemewahan visual, perayaan yang megah hanya untuk menandai 30 tahun Spider, sebaliknya, apa yang diperoleh peminat adalah sesuatu yang lebih ‘jahat’ atau keras.

Namun nanti dahulu, jahat yang dimaksudkan tidak membawa konotasi buruk. Apa yang dimaksudkan ‘jahat’ adalah bunyi-bunyian yang keluar daripada permainan mereka. Improvisasi dalam persembahan secara langsung pada karya-karya mereka menyaksikan Spider mengeluarkan bunyian yang sangat ‘raw atau kasar’ ; mengembalikan kenangan dalam atmosfera etos gig.
Spideraya seterusnya membawa skala konsert besar sesuai usia 30 tahun yang digadangkan, tetapi etos persembahan hangat terasa seperti gig (ah ini sesuatu yang arkab dengan milenial pergi menonton gig kerana datang bukan untuk melihat persembahan yang serba gah, tetapi untuk mendengar muzik, berkongsi ruang dengan pemuzik dan merasai sendiri tenaga yang terhasil antara pentas dengan penonton.)
Tanpa penampilan keterlaluan hanya untuk ‘menekankan’ ini hari raya perlu serba sempurna, anggota Spider naik ke pentas dengan ‘pakaian biasa’ ; t shirt, jeans atau topi seperti aksesori berlebihan.
Bagaimanapun sebaik karya-karya mereka disampaikan, Spider bermain tanpa kompromi. Sebagai pemuzik yang punya pengalaman dan berilmu, mereka memainkan 30 tembang yang direncana dengan sangat santai.
Ia tampak mudah bagi Tam mengalunkan vokalnya yang tidak pernah gagal menusuk hati bergabung dengan bunyian ‘jahat’ yang dikeluarkan tanpa basa-basi oleh Aie, Iss dan Pawn ; dalam bahasa mudah atau pasar ‘naik pentas kita balun’, tapi ‘balun’ yang sedap dan berisi.
Disinilah paradoks Spideraya terasa. Ia terletak pada pertemuan antara skala dan sikap iaitu sebuah konsert yang besar, tetapi masih terasa seperti gig; sebuah kumpulan yang sudah tiga dekad berusia, tetapi tidak menjadikan usia itu sebagai alasan untuk memoles persembahan sehingga kehilangan sifat selamba Spider.
Sekarang kita masuk ke babak metafora dalam karya-karya yang telah dihasilkan Spider, antara kebanyakannya menerima sentuhan daripada legenda muzik Malaysia, Allahyarham Rosli Khamis atau mesra dikenali sebagai Loloq.
Di sini ephemeral archive terus berfungsi dengan baik. Ketika lagu-lagu seperti Aladin, Relaku Pujuk, Buat Sang Puteri, Mungkinkah Akan Terjadi, Nazraku, Kacap Terlabik, Cinta Dewa Dewi, Katalis, Laukku Cukup Masin, Kasih Latifah, Kerongsang, Kau Saja dan Ngam Ho dimainkan, berlaku pengaktifan semula kenangan yang mungkin tidak wujud dalam bentuk fizikal.
Kenangan itu hidup dalam kepala dan pengalaman penonton, menjadikan konsert 30 tahun Spider bukan sekadar medan mengarkibkan lagu-lagu lama tetapi mengaktifkan semula arkib kenangan yang tersimpan dalam diri para pendengar.

Karya Yang Tidak Sengaja Menjadi Warisan
Sementara dari segi metafora, hal yag paling penulis suka mengenai Spider adalah bagaimana lirik-lirik dalam karya mereka sentiasa menggunakan bahasa yang ‘rendah’, dekat dan biasa sebelum menjadi pintu masuk kepada makna yang lebih besar.
Lihat sahaja penggunaan aksara seperti gosok, karat (dalam lagu Aladin) lauk (Laukku Cukup Masin) bukit (Ngam Ho) serta bintang dan kerongsang (Kerongsang) yang merupakan bahasa sehari-hari dan mudah difahami menjadi bahasa untuk bercakap tentang manusia.
Objek-objek itu berfungsi sebagai ranah sumber yang mengkonseptualisasikan usaha, impian, cinta, ketidakpastian dan perjuangan hidup ; tidak jauh dalam konteks perjalanan Spider sejak dahulu sehingga kini.
Maka saat lagu-lagu tersebut dinyanyikan semula di konsert, yang ‘dihidupkan’ bukan melodi sahaja tetapi bahasa dan imaginasi satu zaman. Sekali lagi, Konsert 30 tahun Spideraya bukan sekadar perayaan usia sebuah kumpulan muzik tetapi sebuah ruang tempat memori kolektif, identiti persembahan dan warisan bahasa lirik Melayu bertemu.

Dan terakhir yang ingin penulis bahaskan adalah tentang bukan sekadar ‘masih sedap atau tidak Spider bermain’, tetapi bagaimana Spider menampilkan identiti mereka selepas tiga dekad terutama menerusi persembahan terkini di konsert 30 tahun Spideraya.
Pada bahagian ini, suka untuk penulis merujuk kepada kajian dengan judul Back catalogue touring and the ephemeral archive: personal memory and popular music heritage oleh Lauren Istvandity dan Lachlan Goold (2025) lalu dikaitkan dengan keseluruhan Spideraya.
Kajian ini secara ringkas mengkaji kewujudan satu pola jelajah muzik yang berasaskan terutamanya kepada bahan daripada katalog karya terdahulu (back catalogue). Pengkaji juga meneliti perspektif para artis dalam memahami populariti jelajah berasaskan katalog karya terdahulu serta kesan nostalgia yang terhasil daripadanya.
Dengan menggunakan konsep daripada kajian warisan muzik dan kajian memori, pengkaji terlebih dahulu mengemukakan konsep asli yang disebut sebagai ‘arkib sementara’ (ephemeral archive) iaitu limpahan kenangan peribadi yang boleh tercetus ketika berlangsungnya persembahan muzik secara langsung, sekali gus menyumbang kepada pembentukan ‘runut bunyi sepanjang hayat’ (lifetime soundtracks) bagi artis dan penonton.

Penulis kemudian menerjemahkan kajian ini kepada visual yang berlaku pada malam hangat konset 30 tahun Spideraya.
Spideraya bukan sekadar konsert ulang tahun. Secara peribadi sebagai penonton, penikmat muzik dan penulis, ia merupakan proses mengarkibkan semula sejarah Spider melalui persembahan langsung.
Hal ini dapat dilihat apabila ribuan peminat larut serta mampu menyanyikan karya yang telah dihasilkan lebih 20 sehingga 30 tahun lalu tanpa perlu dipaksa-paksa, berlaku perubahan fungsi daripada produk budaya pada zamannya menjadi bahan ingatan budaya.
Dan saya menebak, Spider barangkali memang mahu karya mereka bersemayam indah di belantika muzik tempatan tetapi sesuatu yang lebih besar datang mendakap kejujuran mereka saat berkarya iaitu apabila sesuatu karya tidak menjadi warisan kerana ia sejak awal ditakdirkan sebagai warisan sebaliknya menjadi warisan apabila masyarakat terus memberikannya kehidupan selepas zaman penciptaannya berlalu.

Itulah yang terjadi kepada Spider ; mimpi anak Johor Bahru yang menjadi realiti apabila mendapat acuan yang betul terutama daripada meastro Datuk M Nasir, rakan-rakan seperjuangan yang telah berpulang tetapi telah meninggalkan jasa tanpa balas (Allahyarham Loloq, Napie dan Tony) lalu berjalan di atas kepercayaan bakat dan persona tersendiri.