Antarabangsa

Motosikal Elektrik Tanpa Hub Gaya Jentera Filem Mad Max

gempak
Erywan
10/09/2020
03:50 MYT
Sponsor Banner
Motosikal Elektrik Tanpa Hub Gaya Jentera Filem Mad Max
Jika filem Mad Max menggunakan motosikal elektrik, mungkin rupa jentera berkenaan akan mirip model bayangan (render) hasil Shane Baxley.
Ia menggunakan unit kuasa elektrik, rim orbit, lengan ayun dua sisi, transmisi manual dan kerja badan minimalis melengkapkan pakej jentera elektrik berkenaan.
Artis dan pereka motosikal berpangkalan di Hollywood ini melakar imej bayangan itu menerusi komputernya serta rupa paras jentera elektrik terbabit sedikit pelik.
Reka bentuk motosikal elektrik itu menampilkan garis cyberpunk dan rim tanpa hub. Sebenarnya idea rim tanpa hub bukanlah baharu kerana rekaan itu pernah diketengahkan pereka asal Itali Franco Sbarro pada era 80-an.
Untuk menghasilkan efek visual yang menyerlah, motosikal elektrik itu dipasang dengan rim tanpa jejari bersama tayar besar. Penampilan motosikal itu tidak praktikal sebenarnya, namun tidak perlu difikirkan kerana ia hanya sekadar lakaran bayangan.
Garis badan yang ditampilkan sangat bersegi dan kompak. Tiada data tentang teknikal dikeluarkan, tetapi berdasarkan lakaran itu kotak gear menampilkan transmisi manual konvensional.
Tuil tukaran gear di bahagian bawah depan kiri pemijak kaki menunjukkan motosikal elektrik itu antara jentera E-Concepts paling 'rare' dengan kotak gear manual konvensional.
Ini bukan kali pertama kita melihat transmisi manual dipasang pada motosikal elektrik kerana Kawasaki adalah satu daripada beberapa pengeluar yang mempersembahkan EV Endeavour, motor konsep elektrik yang dilengkapi transmisi manual empat-kelajuan konvensional.
Lebih-lebih lagi, pada masa lalu, Kymco juga mempamerkan superbike elektrik SuperNEX, sebuah motosikal elektrik moden dengan kotak gear enam kelajuan sebenar.
Motosikal elektrik Baxley didatangkan dengan kaca depan rata bersaiz kecil yang menyembunyikan papan pemuka bulat klasik yang memaparkan maklumat motosikal.
Rekaan lampu depan juga kelihatan klasik. Jentera berkenaan kelihatannya mendapat inspirasi daripada filem Mad Max dan sukar untuk percaya badannya itu dipasang dengan pad kemalangan bagi melindungi fairing.
Tambahan lain padanya adalah kerangka monokok gentian karbon, pelana tunggal dan hujung belakang yang sedikit tinggi yang menampilkan imej futuristik.
Sekiranya motosikal elektrik Baxley adalah jentera sebenar dan bukan hanya rekaan akan menarik untuk melihat bagaimana jentera ingin mengambil selekoh. Tetapi, buat masa ini, kita hanya dapat melihat dan mengagumi rekaan jentera itu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live