Watch
‘Papa Jahat’ kos bina RM45,000.
Budaya Street Cub mungkin sudah biasa dengar bagi fenomena kustom di Malaysia atau luar negara.
Boleh kata hasil ‘gubahan’ yang dilakukan kelihatan sama apabila menggunakan Honda C70 sebagai platform untuk membina sebuah motosikal Street Cub.
Namun apa yang anda lihat ini, mungkin satu binaan Street Cub yang sangat berbeza dan unik berbanding dengan lain.
Mana tidaknya apabila jentera Street Cub yang digelar sebagai ‘Papa Jahat’ ini sememangnya menjalani ubah suai pada tahap maksimum selepas menerima gabungan Honda C70 dengan enjin motosikal scrambler model Honda XR600R.
Jentera yang anda lihat ini, masih lagi dalam proses pembinaannya dengan sudah mengambil masa tiga bulan untuk membinannya.
Pembinanya adalah pemilik bengkel FNG Works, Mohamad Irwann Mohd Azlan, 27, yang lebih dikenali sebagai Cheng dan dia juga mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan mekanikal.
Mohammad Irwann berkata, jentera itu dalam proses untuk disiapkan sebelum acara Art of Speed (AOS) 2018 pada hujung bulan ini yang mana Papa Jahat akan dijadikan hadiah cabutan bertuah pada program itu.
Katanya, projek membina motosikal itu agak sukar untuk menggabungkan Honda C70 dengan enjin berkapasiti 600cc.
“Banyak proses yang perlu dilakukan bagi memastikan kerangka boleh dicantum dengan enjin XR600R.
“Enjin satu silinder 600cc empat lejang itu turut menggunakan karburetor Keihin PWK 39mm, selain dilengkapi sistem pendawaiannya dibina khas,” katanya.
Menurutnya, tangki bahan api juga lebih kecil berbanding standard bagi memuatkan batang besi untuk menyokong kekuatan kerangka.
Katanya, keseluruhan bahagian kerangka diubah suai dan lengan ayun turut menggunakan komponen daripada model Honda Wave serta dipanjangkan hampir dua inci.
“Sistem ekzos juga dikustom, tetapi ia menyalurkan bunyi yang cukup kuat, selain penukar gear dibina khas seakan-akan seperti jentera MotoGP,” katanya.
Sementara itu, Pengasas AOS, Asep Ahmad Iskandar berkata, pada tahun lalu pihaknya membina Yamaha RXZ Twin Boss untuk dijadikan hadiah cabutan bertuah.
Katanya, kali ini pihaknya mahu membina motosikal yang unik untuk dijadikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung AOS 2018 nanti.
“Papa Jahat ini masih lagi menerapkan konsep motosikal Street Cub, tetapi tampil berbeza selepas dipadankan enjin 600cc.
“Buat pengetahuan, jentera ini tidak sah untuk ditunggang di jalan biasa dan hanya sesuai untuk pameran serta menjadi koleksi,” katanya.
Menurutnya, bagi membina Papa Jahat itu, kos yang dibelanja hampir mencecah RM45,000.
Must-Watch Video