Perodua yang menjual 96,281 kenderaan dalam lima bulan pertama 2021, mengekalkan sasaran jualannya sebanyak 240,000 unit bagi tahun ini walaupun berhadapan dengan situasi pandemik serta isu kekurangan semikonduktor.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, jualan Perodua setakat Mei tahun ini adalah sebanyak 96,281 unit, mewakili peningkatan 82 peratus berbanding 52,920 kenderaan yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2020.


Menurutnya, pencapaian 2021 lebih sesuai dibandingkan dengan prestasi 2019, di mana Perodua menjual 105,745 unit dalam lima bulan pertama tahun itu, iaitu 8.9 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun ini.

“Kesan pandemik dan isu kekurangan semikonduktor dapat dilihat pada penurunan jualan sebanyak 12 peratus daripada 20,399 unit pada April kepada 17,973 unit pada Mei.

“Walaupun berhadapan dengan cabaran terbabit, sekiranya tidak berlaku ketidakpastian tambahan, kami percaya mampu mencapai sasaran 240,000 unit kami bagi tahun ini di sebalik permintaan yang kekal kukuh bagi semua model kami,” katanya.


Mengenai operasi pusat servis Perodua dalam tempoh sekatan ini, Zainal berkata bahawa pelanggan boleh menghubungi pusat servis yang berhampiran untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Bagi penghantaran kenderaan baharu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang dihargai atas kefahaman dan kesabaran mereka dalam menunggu kenderaan Perodua mereka,” katanya.

Perodua menghasilkan 18,283 kenderaan pada Mei, meningkatkan jumlah pengeluarannya setakat tahun ini kepada 98,944 unit.