Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Tempatan

Perodua Kini Beroperasi, Penghantaran Kenderaan Bermula Minggu Ini

Erywan 26/08/2021 | 06:17 MYT

Perodua memulakan operasi pusat jualan dan selepas jualannya, termasuk perniagaan Badan Kenderaan dan Cat (B&P) di seluruh negara.

Pembukaan semula pusat jualan dan selepas jualan Perodua adalah selepas daripada operasi semula fasiliti pembuatannya di ibu pejabat di Sungai Choh, Rawang baru-baru ini. Secara keseluruhan, Perodua mempunyai 191 pusat jualan, 197 pusat servis dan 69 B&P di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, penghantaran kenderaan telah bermula secara berperingkat sejak minggu ini dan kami menjangkakan lebih banyak kereta Perodua dihasilkan dan didaftarkan dalam beberapa minggu akan datang.
“Kami berterima kasih kepada pelanggan kami atas kesabaran, kefahaman dan kesetiaan dalam menerima kenderaan Perodua mereka. Kami berharap dapat menghantar sebanyak mungkin pesanan yang ada dalam tahun ini.
"Kami kini sedang menilai kesan penutupan yang diperkenalkan pada 1 Jun 2021 terhadap operasi dan kami akan mengumumkan sasaran semakan untuk tahun ini tidak lama lagi,” katanya.
Walaupun Perodua sudah memenuhi kriteria yang diperlukan untuk vaksinasi pekerjanya, syarikat kereta kompak itu telah menggariskan panduan keselamatan buat pelanggan ketika mengunjungi pusat jualan dan selepas jualannya. Pusat selepas jualan merangkumi pusat servis serta kemudahan badan kenderaan dan cat.
Keperluan keselamatan ini termasuklah menerima vaksin sepenuhnya, memakai topeng, membuat janji temu sebelum mengunjungi cawangan jualan atau servis dengan sentiasa menjaga penjarakan fizikal.
Secara keseluruhan, Perodua mempunyai kira-kira 11,000 tenaga kerja di bawah syarikat terbabit. Sekiranya digabungkan dengan pembekal, pengedar dan kontraktornya - ekosistem Perodua mempunyai lebih 70,000 tenaga kerja.

;