Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan Malaysia baru-baru ini untuk menangani pandemik COVID-19 yang menular di seluruh negara, Perodua akan menangguhkan semua operasi di ibu pejabat, fasiliti pengeluaran, pusat-pusat jualan dan servis serta pusat-pusat Badan & Cat di seluruh negara dari 18hb-31hb Mac 2020, atau tertakluk kepada sebarang pengumuman baharu daripada pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sehubungan dengan itu, penghantaran kenderaan baharu, servis serta perkhidmatan Badan & Cat dijangka akan beroperasi semula hanya selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tersebut.

Menurutnya, kakitangan cawangannya yang berkenaan akan menghubungi pelanggan-pelanggan kami dalam tempoh ini sekiranya perlu untuk memberi penjelasan dan makluman mengenai situasi ini.

“Kami amat menghargai kesabaran anda buat masa ini.

“Kami berharap agar semua rakyat Malaysia dapat memberikan kerjasama penuh dengan mengikuti segala arahan kerajaan serta mengehadkan pergerakan mereka sebanyak mungkin untuk mengelakkan dari dijangkiti COVID-19,” katanya.

Jika anda mengalami sebarang isu dengan kenderaan anda dalam tempoh ini, anda boleh menghubungi talian bebas toll Perodua Auto Assist, 24 jam sehari, 7 hari seminggu di 1-800-88-5555.