TechArt, nama yang tidak asing lagi di kalangan pemilik Porsche, kini memperkenalkan pakej naik taraf untuk Cayenne dan Cayenne Coupe model 2021.

Selain kit badan dan trim untuk ruang dalaman, pakej terbabit turut merangkumi talaan enjin yang boleh memberikan peningkatkan kuasa sehingga 750PS, iaitu lebih berkuasa berbanding Dodge Durango SRT Hellcat dan Lamborghini Urus.


Bagi varian GTS yang dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8, Powerkit yang dibangunkan oleh TechArt mampu menaikkan jumlah kuasa enjin tersebut dari 460PS/620Nm kepada 640PS/870Nm.


Ini membolehkan jentera yang ditala itu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.6 saat dengan kelajuan maksimum 300km/j. Untuk perbandingan, Cayenne GTS standard melakukan pecutan tersebut dalam 4.5 saat, manakala kelajuan maksimumnya hanyalah 270km/j.


Selain GTS, TechArt menawarkan pakej talaan prestasi untuk semua varian dalam rangkaian model Cayenne, termasuk varian asas, S, E-Hybrid, Turbo dan yang tertinggi iaitu Turbo S E-Hybrid.

Untuk varian ini, sentuhan syarikat talaan yang berpengkalan di Leonberg, Jerman itu bakal menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 750PS dan 1,030Nm, iaitu 70PS dan 130Nm lebih tinggi berbanding versi standard.


Pelanggan yang mahukan penampilan yang lebih ranggi untuk SUV mereka boleh mendapatkan pelbagai jenis komponen aerodinamik yang ditawarkan termasuk hud gentian karbon, ‘splitter’ hadapan, tambahan pada spoiler belakang dan ‘diffuser’. Rim pula ada beberapa jenis rekaan dari saiz 21 hingga 23 inci.

Turut ditawarkan adalah ‘spacer’, angkup brek pelbagai warna dan gegelung sport rekaan TechArt sendiri.


Sementara itu, ruang dalaman pula boleh dikustomkan mengikut cita rasa masing-masing menerusi pelbagai jenis upholsteri, trim dan jahitan yang disediakan. Pendek kata, TechArt sedia untuk menuruti apa sahaja kemahuan pelanggan mereka.