Bulan pertama di mana keadaan pasaran automotive kembali pulih selepas PKP adalah satu bulan yang sangat produktif bagi syarikat pembuat kereta tempatan, PROTON.

Dengan jualan kenderaan sebanyak 10,380 unit, PROTON berjaya mengekalkan kedudukan kedua di Malaysia. Pada masa yang sama, pegangan pasaran dianggarkan sekitar 23.9 peratus yang bersandaran kepada anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sekitar 43,500 unit.

Secara keseluruhan, pegangan pasaran bagi 2021 berada pada 23 peratus, jika dibandingkan dengan angka penutup sebanyak 20.7 peratus tahun lalu.

Prestasi jualan PROTON pada bulan September dipacu oleh jualan Proton Saga. Sebanyak 3,907 unit sedan segmen-A itu dijual bulan lalu, satu pencapaian yang bukan sahaja menerajui segmennya, tetapi juga membolehkan model paling popular syarikat menduduki tempat teratas bagi jualan model secara individu.


Pada masa yang sama, jualan SUV PROTON terus kekal utuh dengan peningkatan penyerahan kedua-dua kenderaan siri-X untuk memenuhi permintaan.

Kedua-dua model mengungguli segmen mereka dengan 2,431 unit Proton X50 diserahkan pada bulan September sementara jualan Proton X70 sebanyak 1,577 unit. Secara keseluruhan, 27,312 unit SUV telah dijual oleh syarikat pada tahun 2021, bersamaan 37.4 peratus jualan keseluruhan tahunan syarikat sebanyak 73,017 unit.


Persona dan Iriz 2022 baharu pula mencatatkan jualan bulan pertama yang memberangsangkan. Walaupun bahagian produksi terkesan oleh kekurangan bekalan komponen, PROTON masih mampu untuk menyerahkan 1,440 unit Persona dan 749 unit Iriz, yang juga menampilkan varian Iriz Active.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, sebenarnya pihaknya mampu untuk menjual lebih dari 10,380 unit yang diperolehi, tetapi dalam proses pemulihan pandemik yang masih lagi memberi kesan kepada pembekal-pembekal industri automotif.


Menurutnya, situasi kini bertambah baik, tetapi kekurangan bekalan cip dan komponen lain adalah isu yang tidak akan selesai dalam masa yang singkat, jadi pihaknya harus berhati-hati apabila membuat anggaran jualan kerana kapasiti produksi tertakluk kepada perubahan semasa.