Pada lewat 1990-an Proton Satria GTI diperkenalkan di pasaran tempatan dan ketika itu, jentera hatchback itu menjadi kegilaan anak muda pada zaman berkenaan.

Namun pada tahun 2004, Proton Satria R3 mula diperkenalkan menjadi kenderaan yang lebih fokus kepada versi trek. Pada masa sama, ia boleh dikatakan agak unik kerana hanya 150 unit sahaja dikeluarkan.



Satria R3 dibangunkan berasaskan model penumpang, Satria generasi pertama yang sebenarnya dijenamakan semula daripada Mitsubishi Mirage Cyborg.

Modifikasi Stage 1 ke atas enjin 4-sebaris 1.8L itu iaitu enjin sama seperti Satria GTI dengan menyalurkan 140hp dan tork 168Nm yang dipadankan kotak gear 5-kelajuan.



Untuk mendapatkan model ini bukan mudah, tetapi ini khabar gembira buat anda. Selepas 20 tahun Satria R3 yang anda lihat ini sedang mencari pemilik baharu.

Menerusi iklan yang dimuatnaik oleh pemilik menerusi laman sosial itu. Satria R3 berkenaan adalah unit 025/150.



Bagaimanapun unit berkenaan bukan lagi standard yang mana enjin 1.8L DOHC aspirasi natural dengan kod 4G93P digantikan dengan omboh Mivec.

Pemilik itu turut memaklumkan Satria R3 berkenaan turut menggunakan sistem intake Honda Type R termasuklah pendikit S90, klac Excedy, cam pulley edisi terhad R3 dan ECU Link.



Kotak gear pula dinaik taraf kepada Final Drive 4.6 Mivec bagi mendapatkan prestasi pecutan lebih baik. Sayangnya talaan sistem suspensi Lotus dan R3 digantikan dengan shock absorber boleh laras GAB.



Bahagian luar dan kabin masih mengekalkan bentuk asal dengan padanan spoiler gentian karbon, rim stereng tiga jejari Momo Tuner. Pada masa sama, ia turut disertakan dengan rim 16-inci Advanti, iaitu komponen asal kenderaan berkenaan.