
Untuk menjaga berat jentera ini,
Toyota menggunakan bumbung dan dapra yang diperbuat daripada aluminium, ditambah dengan rekaan baharu pada kerusi hadapan dan ekzos. Bumbung berkenaan turut merendahkan kedudukan pusat graviti, sekaligus memberi manfaat kepada pengendalian.

Bercakap tentang pengendalian, Toyota berkata bahawa GR 86 lebih stabil dengan tahap kekakuan kilasan (torsional rigidity) yang lebih tinggi sebanyak 50 peratus. Ia menggunakan
topang MacPherson pada bahagian depan dan suspensi ‘double wishbone’ pada bahagian belakang, berserta rim 18 inci yang dibalut tayar 215/40.

Dari segi saiz, GR 86 tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan model 86 dengan ukuran panjang 4,265mm, lebar, 1,775mm, tinggi 1,310mm dan tapak roda 2,575mm. Varian manual mempunyai berat keseluruhan mencecah 1,270kg, manakala berat keseluruhan bagi versi automatik tidak didedahkan.

Enjin 2.0-liter yang memacu model terdahulu telah digantikan dengan enjin ‘boxer’ empat silinder baharu yang mempunyai sesaran
2.4-liter. Enjin aspirasi natural itu mampu menghamburkan
235PS pada 7,000rpm dan
250Nm pada 3,700rpm. Penggunaan enjin yang lebih besar dan berkuasa membolehkan Toyota mengurangkan masa pecutan 0-100km/j dari 7.4 saat kepada
6.3 saat.
Dari segi penampilan, perbezaan antara GR 86 dan BRZ boleh dilihat pada jeriji di mana jentera Toyota ini dilihat
mempunyai rekaan lebih agresif yang diinspirasikan oleh GR Yaris. Ruang dalaman pula kelihatan hampir sama, kecuali GR 86 mempunyai upholsteri yang berbeza dan logo GR pada stereng.

Seperti BRZ, ia juga dilengkapi dengan panel instrumen digital berukuran tujuh inci dan skrin infotainmen lapan inci. Varian automatik mendapat sistem bantuan pemandu EyeSight oleh Subaru.