Tempatan
Toyota RAV4 Bertukar Jadi Kenderaan Penyelamat, Memang Kacak!
Saban tahun, acara Tokyo Auto Salon menjadi pentas untuk pengeluar-pengeluar kenderaan mempamerkan pelbagai rekaan konsep luar biasa yang berkemungkinan besar tidak akan memasuki fasa pengeluaran. Edisi tahun ini tidak ada bezanya, walaupun ia terpaksa dijalankan secara dalam talian akibat wabak COVID-19 yang masih menular.
Salah satu rekaan yang diperkenalkan adalah Toyota RAV4 sebagai asas. Dikenali sebagai Mountain Rescue Concept, SUV itu diubah suai sebagai kenderaan misi mencari dan menyelamat.
Seperti yang boleh dilihat, ia mempunyai rekaan bampar yang lebih lasak dengan cangkuk tunda terbina dalam. Terletak di atas bumbung pula adalah rak yang menempatkan bar lampu serta empat lampu sorot LED pada bahagian kiri dan kanan. Pemijak sisi pula membolehkan penumpang masuk dan keluar dengan lebih mudah.
Dari segi mekanikal, jentera konsep ini didatangkan dengan ‘lift kit’ yang meningkatkan ketinggian sistem suspensinya, manakala tayar asal digantikan dengan tayar ‘off road’ yang lebih tebal. Gabungan kedua-dua ini memastikan ia mampu mengharungi permukaan jalan yang mencabar tanpa sebarang masalah.
Sementara itu, ruang butnya yang berkapasiti 580 liter pula dimanfaatkan sepenuhnya untuk memuatkan barang-barang keperluan operasi mencari dan menyelamat seperti helmet, tali, cangkung, pengangkat dan sebagainya. Toyota dilaporkan akan mempertontonkan RAV4 Mountain Rescue Concept ini kepada orang awam di pusat membeli-belah Aeon Mall di daerah Takaoka pada bulan ini.
Must-Watch Video