Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Antarabangsa

Volkswagen Golf GTI 2021, Kuasa Lebih Tinggi Dan Tampil Unik

Erywan 27/02/2020 | 06:03 MYT

Volkswagen melancarkan model hatchback berprestasinya menerusi generasi kelapan Golf GTI versi 2021.

Secara luarannya, ia masih lagi mengekalkan bentuk ikonik Golf sejak generasi pertama lagi, cuma ada beberapa pembaharuan dari segi pengayaan.
Bagi model Golf GTI baharu itu, reka bentuk hadapannya cukup berbeza dengan jerijinya terlalu kecil berbanding biasa. Ia seolah-olah mempunyai satu garisan sahaja dan kelihatan bersambung dengan perumah lampu utama.
Pastinya, garisan jeriji itu mempunyai kemasan warna merah untuk membezakan ia dengan model biasa dan GTI.
Perumah lampu hadapan kelihatan kecil sedikit, tetapi ia dibantu dengan lampu LED pada bahagian bampar dengan bentuk honeycomb (sarang lebah), sekali gus membuatkan ia unik.
GTI baharu itu juga menggunakan rim baharu, tetapi rekaan seakan-akan dengan model sebelum ini yang mempunyai lima bilah dan di bahagian dalamnya pula dilengkapi kaliper brek warna merah.
Lampu belakang dilengkapi ciri reka bentuk yang kecil sedikit berbanding generasi sebelum ini, tetapi paling penting ia cukup menarik!
Peresap (diffuser) belakang bersambung dengan dua muncung ekzos. Cuma yang paling sangat berbeza, lencana GTI diletak di tengah-tengah pintu bonet yang sebelum ini pada bahagian sisi.
Pembaharuan dalaman boleh dilihat dengan sistem infortaimen bersaiz 10 inci yang kelihatan bersambung dengan pada panel kluster digital 10.2 inci. Selain itu, ia mempunyai lampu sekeliling (ambien) boleh ditukar kepada 30 warna.
Kerusinya pula masih lagi menggunakan rekaan ikonik GTI selepas diperkemaskan dengan jahitan warna merah. Stereng direka semula dengan menggunakan logo baharu VW serta mempunyai kemasan warna merah.
Pada konsul tengah ternyata banyak ubah suai yang dilakukan, ia kini lebih bersahaja dengan kehadiran tombol gear kecil berbentuk berpetak. Di konsul tengah itu jugalah terletak butang penghidup enjin, gear ‘P’, butang parkir dan Auto Hold.
Sama seperti generasi sebelum ini, GTI baharu menggunakan enjin 2.0 liter turbocharged yang dipadankan gear manual enam kelajuan atau DSG tujuh kelajuan automatik.
Bagi pasaran Eropah, kuasa yang mampu disalurkan oleh GTI baharu itu sehingga 245hp dengan tork mencecah 370Nm. Biarpun menggunakan enjin EA888 sama, kuasa bagi GTI baharu meningkat 13hp dan 20Nm.
Suspensi hadapan menggunakan McPherson dan multi-link di bahagian belakang, selain pada masa sama dipadankan sistem kawalan casis adaptif untuk pengendalian lebih baik.

;