Modifikasi
Yamaha RX-S Masih Terjaga Rapi, Banyak Guna Komponen Tulen
Wow! Ya, itulah ungkapan pertama terpacul dari Drebar selepas melihat kecantikkan sebuah motosikal kategori retro.
Motosikal Yamaha RX-S dengan padanan warna dan pelekat merah, putih dan hitam ternyata mampu melekakan setiap mata yang memandangnya.
Apa yang menarik? Rupanya yang mengekalkan hampir 100 peratus komponen asal serta kemasan krom di beberapa komponen termasuk enjin, ternyata menambat sesiapa sahaja yang melihatnya.
Pemilik motosikal ini yang mahu dikenali sebagai Nazrol, 30-an, berkata motosikal itu adalah pemberian bapa saudaranya yang juga chef ternama di ibu kota.
Menurutnya, terdahulu motosikal binaan tahun 1982 ini sudah pun siap diubah suai oleh bapa saudaranya namun kekangan masa untuk menunggang dan membelainya sebelum diserahkan kepadanya.
Katanya, asal jentera itu adalah standard kilang dan sedikit demi sedikit direstorasi semula oleh bapa saudaranya yang bertugas sebagai chef di ibu kota.
"Masa dalam jagaan pak cik motosikal ni dah lawa tapi dia tiada masa nak main motosikal lagi.
"Saya masih teringat dimana dua tahun lalu, pak cik menghubungi saya meminta agar saya mengambil motosikalnya kerana tiada masa untuk bermain motor lagi.
"Tanpa membuang masa keesokan hari saya pergi ke Klang menaiki bas dan membawa motosikal itu pulang kesini," katanya yang kini bertugas di Agensi Penguatkuasaan (APMM) Malaysia Pangkalan Kuala Kurau, Perak.
Nazrol berkata sepanjang dalam jagaannya sehingga kini, proses mengekalkan keaslian dan mencantikkan jentera itu tidak dipandang ringan.
"Pelbagai komponen yang bukan asli saya digantikannya dengan yang tulen.
"Selain membeli komponen asli di atas talian, di sini (Parit Buntar) juga ada sebuah kedai yang masih mampu membekalkan pelbagai alat ganti motosikal klasik dan retro, malah harganya pula amat berpatutan," katanya.
Nazrol berkata dijangkakan proses mencantikkan jentera ini termasuk kemasan krom tidaklah menelan modal yang tinggi sebaliknya hanya membelanjakan tidak sampai RM3,000 untuk alat ganti asli dan kemasan krom.
Must-Watch Video