Sekilas
- Kisah seorang ibu tunggal, Kak Fad, yang gigih menjaga anak lelaki berkerusi roda dengan perjalanan hampir dua jam menggunakan pengangkutan awam setiap hari mendapat perhatian ramai.
- Walaupun berdepan kesusahan kewangan dan tiada bantuan suami selama 13 tahun, Kak Fad tetap membesarkan empat anaknya dengan penuh kasih sayang dan kesabaran.
- Sebuah syarikat automotif, Chery Malaysia, telah menghadiahkan SUV kepada keluarga Kak Fad, manakala filem FLEAK yang mengangkat semangat kanak-kanak kurang upaya akan ditayangkan di pawagam mulai 21 Mei.
Di sebalik kesibukan kota yang tidak pernah tidur, tersimpan sebuah kisah penuh pengorbanan dan kasih seorang ibu yang kini menyentuh hati ramai masyarakat.
Seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai Fadhilah atau Kak Fad menyorot perhatian dengan kisahnya yang bangun seawal pukul 4 pagi untuk menyiapkan anak-anaknya sebelum keluar rumah demi memastikan anak lelakinya yang berkerusi roda dapat hadir ke sekolah.
Dengan hanya bergantung kepada pengangkutan awam, Kak Fad perlu menaiki bas dan MRT sebelum menolak kerusi roda anaknya hampir 20 minit untuk sampai ke sekolah yang terletak di pusat bandar.
Perjalanan itu mengambil masa hampir dua jam sehala dan dilakukan setiap hari tanpa mengira hujan, panas mahupun keadaan dirinya sendiri yang keletihan.
Apa yang lebih menyentuh hati, Kak Fad melakukan semuanya bersendirian selepas ditinggalkan suami sejak 13 tahun lalu tanpa sebarang bantuan kewangan.
Dengan hanya berbekalkan pendidikan sekolah rendah dan pendapatan kecil hasil menjahit pakaian di rumah, ada ketika dia memperoleh sekitar RM400 sebulan dan ada bulan langsung tiada pendapatan.
Namun, dalam segala kesusahan itu, Kak Fad tetap membesarkan keempat-empat anaknya dengan penuh kasih sayang dan kesabaran.
Dalam keadaan kewangan yang serba kekurangan, Kak Fad sering mendahulukan anak-anak sehingga sanggup berlapar demi memastikan mereka dapat makan.
“Saya anggap ini sebagai amanah dan tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak tanpa rasa terbeban. Saya bergantung sepenuhnya kepada Allah,” katanya.
Kisah pengorbanannya turut mendapat perhatian sebuah NGO sebelum dibawa kepada Nurul Izzah Anwar yang turut berusaha mencari bantuan buat keluarga tersebut.
Walaupun banyak permohonan bantuan tidak mendapat maklum balas, sebuah syarikat automotif, Chery Malaysia tampil menghulurkan bantuan dengan menghadiahkan sebuah SUV Chery Omoda E5 kepada Kak Fad dan keluarganya.
Terbaharu, sebuah filem berjudul FLEAK mengangkat kisah semangat kanak-kanak kurang upaya dalam berdepan cabaran hidup. Filem tersebut akan berada di pawagam seluruh Malaysia bermula 21 Mei ini.
FLEAK adalah terbitan Anima Vitae, Anima Vitae Point, Animoon, dan Godo Films, dengan kerjasama Astro Shaw sebagai rakan pemasaran dan pengedaran di Malaysia.
FLEAK mengisahkan tentang keberanian, kehilangan dan penerimaan diri dalam sebuah dunia penuh keajaiban. Namun di sebalik pengembaraan tersebut, cabaran sebenar adalah untuk menghadapi dan menerima diri sendiri.