Sempena pembuka tahun 2026, pasangan pempegaruh kembar, Amin Othman dan Abid Othman tampil dengan idea baharu yang menggabungkan elemen tradisi Melayu dan kemajuan teknologi Malaysia.
Memakan belanja RM150, jelas Amin dan Abid, konsep yang diketengahkan kali ini bukan sekadar hiburan sebaliknya membawa mesej tentang perjalanan pembangunan negara daripada akar tradisi sehingga ke era moden.
“Untuk tahun baharu ini, kami hadirkan satu konten yang istimewa untuk semua. Kami mengangkat tradisional Melayu, dan dalam masa yang sama mengetengahkan teknologi di Malaysia.
“Konten terbaharu ini menggabungkan konsep rumah kampung baharu dengan pembangunan KLCC. Ia menceritakan perjalanan pembangunan Malaysia ke arah kemajuan,” jelas Amin.
Walaupun video tersebut hanya berdurasi sekitar satu minit, Amin dan Abid mendedahkan proses penghasilannya penuh cabaran dan memerlukan perancangan rapi terutamanya melibatkan aspek elektronik dan mekanisme pergerakan.
“Walaupun nampak simple dalam satu minit, cabaran sebenar adalah bagaimana kami nak siapkan bahagian elektronik dan mekanisme dalam masa tiga hari.
“Ia ada tiga peringkat pergerakan, jadi kami kena fikir betul-betul macam mana nak jadikan ia berfungsi,” ujar Abid pula.
Dalam usaha menjayakan idea tersebut, Amin dan Abid turut bekerjasama dengan AZ Electronic yang diketuai oleh Qilah, atau mesra disapa Kak Qilah.
Kolaborasi itu memberi banyak manfaat serta pendedahan baharu kepada mereka dalam bidang elektronik.