Skip to main content

Foodies Life

#FoodiesLife: Kualiti Hotel Mewah, Harga Mampu Milik! 5 Sebab Anda Perlu Cuba Andaman Seafood & Dim Sum - "Cubalah Hidangan Istimewa Dari Timor Leste"

andaman

Sekilas

  • Andaman Seafood & Dim Sum buka cawangan ketiga di Sunway Resort Hotel dengan konsep makanan laut hidup dan dim sum segar pada harga lebih mampu milik.
  • Restoran ini menawarkan lebih 52 hidangan dari 11 negara ASEAN termasuk resipi khas Timor Leste, serta dim sum segar tanpa inti sejuk beku.
  • Andaman menerima Anugerah ASEAN Records dan merancang untuk berkembang ke Maldives dan Kemboja dengan promosi menarik sepanjang tahun.

Cawangan ketiga Andaman Seafood & Dim Sum kini dibuka di Sunway Resort Hotel, membawa konsep makanan laut hidup dan dim sum segar buatan harian ke lokasi premium yang menjadi tumpuan pelancong serta keluarga.

Dengan ruang yang mampu menampung sehingga 170 pelanggan, ia menawarkan pengalaman makan mewah pada harga yang lebih berpatutan.

Berikut lima sebab utama restoran ini mendapat perhatian ramai.

1. 'Live seafood' segar bertaraf hotel 5 bintang dengan harga lebih mampu milik

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Andaman, Peter Tey, Andaman mengekalkan reputasinya sebagai restoran makanan laut hidup yang menawarkan bahan segar berkualiti tinggi, namun dengan harga lebih rendah berbanding hotel lima bintang.

"Kalau dibandingkan harga makanan kami dengan mana-mana hotel 5 bintang, makanan kami lebih mampu dinikmati kerana lebih murah dengan konsep ‘live seafood’ dimana para pelanggan dapat menikmati makanan segar yang sangat berkualiti," katanya.

Makanan laut juga diimport terus dari Sabah serta negara luar seperti Alaska dan Australia bagi memastikan kesegaran setiap hidangan.

2. 52 hidangan dari 11 negara ASEAN termasuk resipi khas dari Timor Leste

Restoran ini mengetengahkan lebih 52 sajian dari negara-negara ASEAN, menjadikannya antara restoran paling lengkap dengan seleksi masakan rantau ini. Malah, ia kini menawarkan hidangan istimewa dari Timor Leste yang jarang ditemui di Malaysia.

"Pelancong dari luar negara dapat menjamu selera di restoran ini dengan pelbagai menu yang bukan sahaja dari Malaysia namun juga dari 11 negara ASEAN. Ini menjadikan restoran ini yang pertama menyediakan pelbagai menu masakan ASEAN dalam hidangannya.," tambahnya.

Lokasi restoran di lobi Sunway Resort Hotel turut menjadikannya pilihan strategik untuk pengunjung tempatan dan pelancong.

3. Dim Sum segar tanpa inti sejuk beku

Satu lagi tarikan utama ialah dim sum yang dibuat sepenuhnya segar setiap hari oleh chef dari Singapura.

Semua proses penyediaan dari doh, adunan hingga inti dilakukan tanpa sebarang bahan sejuk beku.

“Pelanggan boleh datang dan merasai keenakkan Dim Sum kami yang dibuat segar setiap hari, dari penyediaan doh dan adunan sehingga intinya yang tidak disejukbekukan sama sekali,” kata Peter.

Restoran ini juga Muslim Friendly dan mendapatkan bekalan halal, manakala cawangan utama di Bukit Bintang sudah menerima sijil Halal.

4. Promosi menarik sepanjang tahun

Selain menawarkan makanan laut segar, Andaman menyediakan hidangan premium termasuk lobster yang boleh disajikan dalam dua perisa seperti sashimi dan Typhoon Shelter.

Menu paling mahal mencecah RM598 sekilogram, namun tetap menjadi pilihan kerana kualiti dan kesegaran menyeluruh.

Mereka turut menawarkan promosi ketam Indonesia 700 gram pada harga RM118 dengan diskaun 50 peratus, serta menyediakan pelbagai set menu berkumpulan untuk memenuhi permintaan acara syarikat dan perjumpaan hujung tahun.

5. Penerima Anugerah ASEAN Records, bakal berkembang ke Maldives & Kemboja

Andaman Seafood & Dim Sum kini diiktiraf sebagai penerima anugerah ASEAN Records bagi kategori Largest ASEAN Cuisine Seafood Restaurant yang menawarkan 52 hidangan dari 11 negara ASEAN dalam ruang berkeluasan lebih 16,930 kaki persegi.

Dengan lebih 200 pekerja, restoran ini dibuka dari 9.30 pagi hingga 10.30 malam setiap hari.

Peter turut mengakui mereka sedang berunding untuk membuka cawangan baharu di Maldives dan Cambodia selepas mendapat jemputan khas daripada hotel yang pernah mencuba hidangan mereka.

Must-Watch Video

Advertisement