Skip to main content

Foodies Life

#FoodiesLife: Pusat Pengalaman Durian Pertama & Terbesar Di Asia Dibuka Di KL, Mahu Angkat Budaya Durian Malaysia Ke Mata Dunia

ASTRO GEMPAK kldex

Sekilas

  • Kuala Lumpur Durian Experience Centre (KLDEX) akan dibuka pada 4 Julai sebagai pusat pengalaman durian bersepadu pertama dan terbesar di Asia.
  • KLDEX menawarkan pengalaman interaktif termasuk muzium, teater, dan zon dusun untuk memperkenalkan sejarah, budaya, dan pelbagai varieti durian Malaysia.
  • Pusat ini juga bertujuan menetapkan standard kualiti durian, mendidik generasi baru, dan menarik sehingga 5,000 pengunjung sehari, termasuk pelancong antarabangsa.

Malaysia bakal mempunyai satu lagi tarikan pelancongan baharu apabila Kuala Lumpur Durian Experience Centre (KLDEX) dibuka secara rasmi pada 4 Julai ini, sekali gus menjadi pusat pengalaman durian bersepadu pertama dan terbesar di Asia.

Dibangunkan oleh MyBolehBoleh, KLDEX bukan sekadar menawarkan pengalaman menikmati durian, malah membawa pengunjung menyelami sejarah, budaya dan evolusi industri durian Malaysia menerusi muzium interaktif, teater imersif, zon pengalaman dusun, ruang makanan serta cenderamata bertemakan raja buah.

Menurut Pengasas Bersama KLDEX, Edison Ang, idea penubuhan pusat berkenaan tercetus selepas beliau melihat industri durian tempatan masih belum mempunyai satu standard yang jelas walaupun Malaysia terkenal sebagai antara pengeluar durian terbaik dunia.

"Apabila saya masuk ke dalam industri durian, saya dapati kita masih tiada standard. Kalau pelancong datang dan membeli Musang King atau Udang Merah, mereka sendiri sukar memastikan sama ada durian itu benar-benar asli.

"Sebab itu kami mahu mewujudkan satu standard supaya pelancong yang datang ke Malaysia benar-benar menikmati durian yang berkualiti dan tidak mudah ditipu," katanya.

Beliau berkata, KLDEX turut diwujudkan bagi memperkenalkan budaya durian Malaysia kepada pelancong tempatan dan antarabangsa, selain menjadi platform pendidikan kepada generasi baharu yang berminat menceburi industri tersebut.

Menurutnya, sehingga kini Malaysia masih belum mempunyai institusi khusus yang mengajar bidang penanaman, pengurusan dan pemasaran durian secara profesional.

"Kalau kita mahu industri durian terus berkembang, kita perlu ada lebih ramai tenaga mahir. Hari ini belum ada institusi yang benar-benar mengajar orang mengenai industri durian secara menyeluruh. KLDEX adalah sebahagian daripada misi itu," katanya.

Selain galeri sejarah, pengunjung turut berpeluang meneroka kisah di sebalik varieti ikonik seperti Musang King, D24 dan Black Thorn, selain memahami ekosistem dusun durian tempatan menerusi pengalaman yang lebih interaktif.

Edison berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai lebih 30 varieti durian, namun kebanyakan pengguna hanya mengenali Musang King dan D24.

"Di sini kami mahu memperkenalkan setiap varieti kepada pengunjung. Bukan sekadar nama, tetapi juga rasa, sejarah dan keistimewaan setiap durian."

Beliau turut menjelaskan antara perbezaan utama durian Malaysia dan Thailand ialah kaedah penuaian.

"Durian Malaysia dibiarkan gugur secara semula jadi apabila benar-benar masak, manakala durian Thailand dituai lebih awal. Sebab itu rasa kedua-duanya juga berbeza."

Menjelang pembukaan rasmi, KLDEX kini menerima sekitar 2,000 hingga 3,000 pengunjung setiap hari, dengan majoritinya terdiri daripada rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, jumlah itu dijangka meningkat apabila musim cuti sekolah di China bermula tidak lama lagi.

"Sasaran kami ialah sekitar 5,000 pengunjung sehari. China merupakan pasaran terbesar durian dunia dan kami melihat potensi yang sangat besar di sana."

Beliau berkata, KLDEX turut menawarkan sekitar lapan hingga 10 varieti durian pada satu-satu masa dengan harga yang dikawal supaya kekal mampu dinikmati semua lapisan masyarakat.

"Kami tidak mahu orang melihat tempat ini sebagai destinasi eksklusif. Kami mahu semua orang dapat menikmati pengalaman durian Malaysia," katanya.

Selain menikmati durian segar, pengunjung juga boleh mencuba pelbagai produk berasaskan durian termasuk pencuci mulut, kopi durian, membeli cenderamata eksklusif serta menyaksikan persembahan di Durian Theatre.

Dengan pelaburan keseluruhan sekitar RM8 juta, Edison berharap KLDEX mampu menjadi antara ikon pelancongan baharu negara, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pencinta durian dari seluruh dunia.

"Kami mahu apabila orang bercakap mengenai durian, mereka akan terus mengingati Malaysia."

Anda mungkin berminat dengan

Serunding Ayam 500G

Serunding Ayam 500G

Rezeki Bersama RM5

Rezeki Bersama RM5

McJoden - ROY Hoodie Men Women Unisex Coffee Oversized Hoodie Korean Style Couple Sweater Lelaki Plus Size

McJoden - ROY Hoodie Men Women Unisex Coffee Oversized Hoodie Korean Style Couple Sweater Lelaki Plus Size

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Women White KA8125

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Women White KA8125

Heal Chocolate Crunch/Fruity Raspberry Breakfast Protein Bar (3 Bars) - Halal Certified

Heal Chocolate Crunch/Fruity Raspberry Breakfast Protein Bar (3 Bars) - Halal Certified

Must Watch Video

Advertisement