Sekilas
- McDonald’s Malaysia telah mengagihkan lebih 300,000 baucar nasi percuma kepada mahasiswa di 75 institusi pengajian tinggi seluruh negara melalui Program Santun Pelajar.
- Program ini bukan sahaja memberi bantuan makanan, malah turut menyediakan peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran, dan tip kejayaan untuk golongan muda.
- Acara Gempakkan Kampus di UPM mendapat sambutan hangat dengan penglibatan pelajar dan selebriti, menjadikan program ini platform ilmu dan motivasi untuk mahasiswa.
McDonald’s Malaysia terus memperkukuh usaha mendekati komuniti menerusi Program Santun Pelajar yang diperkenalkan bagi membantu mahasiswa berdepan cabaran kos sara hidup.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, menerusi inisiatif tersebut, McDonald’s Malaysia telah mengagihkan lebih 300,000 baucar nasi McD percuma kepada mahasiswa di 75 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
“McDonald’s sudah hampir 45 tahun berada di Malaysia dan kami sentiasa berusaha untuk mendekati serta menyantuni komuniti dan masyarakat di lokasi restoran kami beroperasi.
“Program Santuni Pelajar ini kita lancarkan pada Februari atau ketika Ramadan tahun ini. Ia bermula dengan memberi perhatian kepada mahasiswa yang sangat terkesan dengan kos sara hidup dan mungkin menghadapi kesukaran untuk mengatasinya setiap hari.
“Melalui baucar hidangan nasi Mekdi, kita telah mengagihkan lebih 300,000 baucar kepada mahasiswa di lebih 75 IPT seluruh Malaysia. Di UPM sendiri, kita telah memberikan nasi McD secara percuma kepada lebih 8,000 pelajar,” katanya kepada Gempak.
Menurut beliau, usaha menyantuni golongan muda bukan sekadar tertumpu kepada bantuan makanan, malah program ini turut merangkumi pembangunan kemahiran serta penyediaan peluang pekerjaan dan pengalaman kerjaya.
“Program Santun Pelajar ini bukan hanya terhad kepada tajaan makanan, tetapi merangkumi pelbagai aspek termasuk memberikan peluang pekerjaan kepada golongan belia, ruang pembangunan diri serta tip untuk berjaya bukan sahaja ketika di universiti, malah selepas mereka tamat pengajian dan mula membina kerjaya,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut meluahkan rasa teruja dengan sambutan yang diberikan oleh mahasiswa terhadap penganjuran Gempakkan Kampus di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurutnya, penglibatan aktif pelajar sepanjang program berkenaan memberikan keyakinan kepada pihak McDonald’s Malaysia untuk meneruskan kerjasama tersebut di institusi pengajian tinggi (IPT) lain.
“Kami sangat teruja dan bermotivasi dengan Gempakkan Kampus di UPM. Penglibatan serta sambutan yang diberikan oleh pelajar sangat memberikan kami keyakinan bahawa program ini boleh diteruskan di IPT lain.
“Menerusi program ini bersama Astro, kami membawakan tip, selebriti dan individu yang mahir dalam bidang masing-masing seperti pempengaruh kewangan serta pakar motivasi untuk sesi perkongsian.
“Kami mahu mereka pulang dengan ilham dan motivasi. Pada masa sama, kami mahu mendekatkan McDonald’s dengan mahasiswa menerusi Gempakkan Kampus supaya mereka lebih yakin untuk bekerja bukan sahaja di McDonald’s, malah dalam apa-apa bidang yang ingin diceburi,” katanya lagi.
Tambah Melati, pihaknya berharap program tersebut dapat menjadi platform untuk mahasiswa memperoleh ilmu dan pengalaman yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam pendidikan serta perancangan masa depan.
Sekadar info, Gempakkan Kampus bersama Mekdi berlangsung pada Sabtu, 31 Oktober 2026 di Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Program tersebut menampilkan barisan artis dan selebriti popular seperti Mierul Aiman, Dayang Nurfaizah, Qawiyaro, Financial Faiz, Yaya Zahir dan Amirul Ramli.
Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan khas buat warga kampus, termasuk sesi perkongsian ilmu, permainan interaktif serta ruang santai untuk mahasiswa meluangkan masa bersama rakan-rakan.