Sekilas
- Peguam syarie Nurul Atikah menjelaskan bahawa mutaah tidak boleh ditarik balik tanpa perintah mahkamah.
- Beliau menasihatkan pasangan yang sudah berpisah untuk membuat perjanjian persetujuan bersama dan menjadikannya perintah mahkamah bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.
- Pempengaruh Chazynash mahu menarik balik mutaah kepada bekas isteri, Fatin Morat, dan akan menyelesaikan isu harta serta hak penjagaan anak melalui mahkamah.
Seorang peguam syarie yang dikenali sebagai Nurul Atikah memberikan penjelasan mengenai isu penarikan balik mutaah menerusi satu perkongsian yang dibuat di aplikasi Threads.
Menurut Nurul Atikah, mutaah tidak boleh ditarik balik sekiranya tidak mendapat perintah mahkamah.
Malah, seseorang itu juga tidak boleh membuat keputusan secara sesuka hati mengenai mutaah dan perlu melakukannya mengikut proses undang-undang yang sah.
“Tarik balik mutaah? Kalau boleh tarik balik ni biasanya tak ada apa-apa perintah mahkamah. Kalau ada perintah mahkamah, tak boleh tarik balik ikut suka,” katanya.
Menerusi perkongsian yang sama, Nurul Atikah menasihatkan pasangan yang sudah berpisah untuk berbincang secara baik dan mengesahkan segala persetujuan berkaitan hal selepas bercerai di mahkamah.
“Sebab tu saya selalu ingatkan klien kalau tengah berbaik dan boleh berbincang dengan bekas pasangan masing-masing, better buat perjanjian persetujuan bersama segera dan jadikan perjanjian tu sebagai perintah mahkamah.
“Bukan setakat perjanjian mulut atau bertulis sebab itu tak mengikat mahkamah jika salah satu pihak melanggar persetujuan tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, pempengaruh media sosial, Chazynash menyorot perhatian apabila memaklumkan bahawa dia mahu menarik semula pemberian mutaah kepada bekas isteri, Fatin Morat.
Ujar Chazynash, bekas isterinya itu tidak lagi layak menerima mutaah kerana didakwa mencetuskan pelbagai spekulasi negatif sehingga menjejaskan reputasi serta menjejaskan emosi dan kesihatan mentalnya.
Dalam masa sama, Chazynash menegaskan segala urusan berkaitan harta dan hak penjagaan anak mereka akan diselesaikan melalui saluran mahkamah.
Terdahulu, Chazynash mengesahkan telah bercerai dengan Fatin pada 23 Januari tahun lalu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram.
Sumber: Threads