Skip to main content

Gaya Hidup

Meriah! Lebih 300 Peserta Semarakkan Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka 2026, Jejak Sejarah Dari Stadium Merdeka Ke Dataran Merdeka

Meriah! Lebih 300 Peserta Semarakkan Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka 2026, Jejak Sejarah Dari Stadium Merdeka Ke Dataran Merdeka

Sekilas

  • Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka 2026 menghimpunkan hampir 400 peserta dalam cabaran eksplorasi bandar bertemakan warisan di Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Kebangsaan.
  • Peserta menelusuri lokasi bersejarah seperti Stadium Merdeka, Central Market dan Dataran Merdeka sambil menyelesaikan tugasan yang menguji pengetahuan dan kreativiti mereka.
  • Acara ini bertujuan menghidupkan semula jiwa Kuala Lumpur melalui pemuliharaan warisan dan budaya serta memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.
Advertisement

Semangat patriotik dan kecintaan terhadap warisan negara disemarakkan menerusi penganjuran Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka 2026, yang menghimpunkan Lebih 300 peserta dalam sebuah cabaran eksplorasi bandar bertemakan warisan.

Dianjurkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan, acara berkenaan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menelusuri semula perjalanan negara menuju kemerdekaan menerusi beberapa lokasi bersejarah di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Advertisement

Para peserta bukan sahaja diuji menerusi pelbagai misi, teka-teki dan cabaran kreatif, malah berpeluang mengenali dengan lebih dekat mercu tanda yang menjadi sebahagian daripada sejarah serta identiti ibu negara.

Perjalanan simbolik itu bermula di Stadium Merdeka, lokasi bersejarah pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, sebelum peserta meneruskan eksplorasi ke beberapa lokasi ikonik termasuk Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Central Market, Daya Bumi, Petaling Street, Masjid Jamek dan Bangunan Sultan Abdul Samad, sebelum menamatkan cabaran di Dataran Merdeka.

Kesemua lokasi berkenaan menjadi sebahagian daripada pengalaman peserta dalam melihat Kuala Lumpur bukan sekadar sebagai sebuah bandar moden, tetapi sebagai sebuah bandar warisan hidup yang sarat dengan kisah, budaya dan kepelbagaian komuniti.

Lebih menarik, peserta perlu menyelesaikan pelbagai tugasan yang menguji pengetahuan, kreativiti serta semangat kerja berpasukan sepanjang perjalanan tersebut.






Acara pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Wakil Sekretariat Bersama Warisan KL, Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin dan tuan rumah Stadium Merdeka, PNB Merdeka Ventures, Datuk Ir. Ts. (Dr.) Izwan Hasli. 

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Wilayah Persekutuan, Puan Farah Adura Hamidi, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, DBKL, Encik Faizal Mahmood, selain pemegang taruh serta rakan strategik utama.

Suasana majlis turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, aktiviti komuniti dan pengalaman mesra keluarga, sekali gus melengkapkan perjalanan peserta dalam menghayati warisan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Mohamed Nasri Sallehuddin berkata, Xplorasi Warisan KL bukan sekadar sebuah pertandingan, sebaliknya menjadi medium untuk masyarakat mengenali sejarah Kuala Lumpur secara lebih dekat.

“Xplorasi Warisan KL bukan sekadar satu cabaran berasaskan warisan, malah merupakan peluang untuk rakyat Malaysia mengenali sejarah Kuala Lumpur secara langsung serta menghayati kisah, lokasi dan insan yang telah membentuk negara kita.

“Sepanjang perjalanan dari Stadium Merdeka ke Dataran Merdeka, para peserta dapat menyaksikan bagaimana warisan terus hidup melalui komuniti, tradisi dan pengalaman bersama yang menjadi sebahagian daripada identiti kita hari ini.

“Kami berharap inisiatif seperti ini akan mendorong lebih ramai pihak untuk meneroka, menghargai dan memperjuangkan warisan bersama kita agar terus kekal bermakna dan relevan untuk generasi akan datang,” katanya.

Berikut merupakan senarai pemenang Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka 2026 

Juara: Baby G NST  – RM4,000 bagi setiap pasukan.  

Naib Juara: KITA TRY – RM3,000 bagi setiap pasukan.  

Tempat Ketiga: Baru Nak Up BERNAMA – RM2,000 bagi setiap pasukan.  

Tempat Keempat: TERUNION – RM1,000 bagi setiap pasukan.  

Tempat Kelima: BAGAN HUNTERS – RM700 bagi setiap pasukan.  

Selain itu, lima belas hadiah saguhati berupa wang tunai sehingga RM400 bagi setiap pasukan turut diberikan kepada pasukan yang berjaya menyempurnakan semua tugasan dan menamatkan cabaran, berdasarkan jumlah markah keseluruhan pasukan. 

Hadiah wang tunai RM400 bagi setiap pasukan juga diberikan kepada pemenang kategori Anugerah Khas, termasuk Anugerah Video Terbaik (tiga pemenang), Pakaian Paling Kreatif, Pasukan Paling Sporting, Pasukan Pendaftaran Awal serta Anugerah Sesat tetapi tetap Bersemangat.  

Sekadar Info, Warisan KL merupakan inisiatif pembaharuan bandar berteraskan warisan dan budaya di peringkat nasional yang bertujuan menghidupkan semula jiwa Kuala Lumpur melalui pemuliharaan dan penjenamaan semula warisan binaan di ibu kota. 

Misinya adalah untuk mewujudkan bandar yang lebih berdaya huni sambil merangsang pertumbuhan sektor pelancongan, perusahaan komuniti dan perdagangan.  

Warisan KL menghimpunkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), rakan sektor swasta dan komuniti untuk mengangkat Kuala Lumpur sebagai hab warisan, budaya dan kreativiti yang dinamik. 

Dengan menghidupkan semula bandar raya ini, Warisan KL meraikan sejarah silam sambil membentuk masa depan Malaysia yang lebih inklusif dan penuh potensi.  

Anda mungkin berminat dengan

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

Must Watch Video

Advertisement