Sekilas
- DJ Lin memuji usaha Dr Afif Mohd Ridzwan menubuhkan Yayasan Al Farhain untuk membantu golongan B40 yang terputus akses rawatan kesihatan, terutama pesakit kronik dan warga emas.
- Yayasan Al Farhain menawarkan pembedahan mata percuma bagi mereka yang tidak berkemampuan, mengurangkan beban menunggu lama di hospital dan kos rawatan swasta yang tinggi.
- Program Bicara Wanita anjuran PERISMA JBPM Pahang menekankan pentingnya yayasan ini sebagai sumber bantuan dan harapan kepada masyarakat yang memerlukan.
Ramai derita dalam senyap. Di sebalik senyuman masyarakat, khususnya golongan B40, tersembunyi kisah warga emas dan pesakit kronik yang terperangkap dalam senarai menunggu hospital berbulan-bulan lamanya.
Melihat realiti ini, penyampai radio Suria FM, DJ Lin meluahkan rasa kagum terhadap usaha Dr Afif Mohd Ridzwan yang menubuhkan Yayasan Al Farhain sebagai langkah membantu masyarakat yang terputus akses kesihatan.
Menurut DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, inisiatif itu bukan sekadar projek kebajikan, tetapi peluang baharu untuk golongan yang sudah lama menanggung kesakitan tanpa mampu mendapatkan rawatan sewajarnya.
“Bagi saya, usaha ini bukan sekadar projek kebajikan biasa. Ia satu ruang dan peluang untuk lebih ramai golongan B40 yang selama ini menderita dalam senyap kerana tidak tahu ke mana mahu meminta bantuan. Inisiatif Dr Afif sangat murni,” katanya.

DJ Lin berkata demikian selepas program Bicara Wanita: Pengorbanan dan Inspirasi anjuran PERISMA JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM Kuantan. Hadir sama Pengarah Bomba Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim dan Pengerusi PERISMA, Datin Suraya Jusoh, termasuk wakil PUSPANITA Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, PERKEP Briged Tenggara PGA serta Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang.
Dalam pertemuan itu, DJ Lin turut tersentuh apabila dimaklumkan hasrat Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain untuk menyediakan pembedahan mata secara percuma kepada mereka yang tidak berkemampuan.
“Apa yang Dr Afif beritahu memang menyentuh hati. Ramai tidak mampu dapatkan rawatan mata, sedangkan senarai menunggu di hospital sangat panjang dan rawatan swasta pula mahal. Golongan B40 jarang dapat rasa rawatan berteknologi tinggi,” katanya.
Sebagai pengamal media yang sering menerima rayuan masyarakat, DJ Lin menyifatkan yayasan seperti Al Farhain sebagai ‘jambatan’ penting untuk mereka yang tidak tahu saluran bantuan kesihatan.
“Ramai yang tak tahu ke mana nak pergi. Bila ada yayasan begini, ia jadi tempat bergantung. Saya kagum dengan pasukan Dr Afif. Niat baik, Insya Allah dipermudahkan,” katanya.

Sementara itu, Dr Afif menyatakan ramai golongan B40 kini berada dalam situasi bahaya akibat masalah penglihatan yang menjejaskan pekerjaan dan keselamatan.
“Ada yang tak boleh bekerja, sukar memandu dan terpaksa berhenti kerja kerana tak nampak. Ada yang menunggu rawatan berbulan-bulan. Insya Allah, Yayasan Al Farhain mahu mengakhiri penantian itu,” katanya.
Pengerusi PERISMA, Datin Suraya Jusoh turut menyokong penubuhan yayasan tersebut, menyifatkannya sebagai sinar harapan kepada masyarakat yang terpinggir.
“Ramai sedang menunggu. Ada yang tak mampu, ada yang tak tahu di mana nak cari bantuan. Usaha ini tepat pada masanya,” katanya.
Program ini dihadiri lebih 100 ahli PERISMA dan turut disertai ceramah kesihatan bersama Dr Afif.