Sekilas
- Usahawan Ustaz Shamsuri Shafie dan isteri, Rosnaida Ismail, selamat menerima cahaya mata ke-13 pada 23 November lalu dengan proses kehamilan dan kelahiran yang dipermudahkan.
- Walaupun ada yang mempersoalkan kemampuan mereka menyara keluarga besar, Shamsuri menegaskan bahawa rezeki anak ramai adalah ketentuan Allah dan mereka bahagia bersama keluarga.
- Shamsuri kini mengambil alih tugas menguruskan anak-anak dan kerja rumah semasa isteri berpantang, dan mereka tidak menolak kemungkinan menimang anak ke-14 jika diizinkan.
Usahawan yang dikenali sebagai Ustaz Shamsuri Shafie meluahkan rasa gembira selepas isterinya, Rosnaida Ismail selamat melahirkan cahaya mata mereka yang ke-13, 23 November lalu.
Bukan itu sahaja, Shamsuri turut bersyukur apabila urusan isterinya sepanjang hamil dan melahirkan dipermudah Allah SWT.
“Bukan hanya kami malah anak yang lain turut gembira menyambut kelahiran Muhammad Uwais Al Abbas.
"Alhamdulillah, sebagai suami dan bapa, tentunya saya gembira sejak dapat tahu isteri hamil anak ke-13 kami lagi pada Mac lalu.
"Anak yang lain pun seronok dan sepanjang tempoh kehamilan, isteri tidak mengalami sebarang alahan.
"Bacaan darah dan paras gulanya memuaskan setiap kali pemeriksaan… urusan kelahiran anak pun dipermudahkan dan syukur semuanya selamat,” kongsinya.
Sungguhpun begitu, usahawan berusia 40 tahun ini mengakui ada juga beberapa pihak yang mempertikai kemampuannya untuk mempunyai cahaya mata yang ramai.
Namun, Shamsuri menganggap ini semua adalah ketentuan dan takdir Allah SWT.
"Memang ada yang mempersoalkan kemampuan saya menyara isteri dan anak yang ramai. Kalau tengok komen di media sosial pun, memang ramai kata mengapa tak kasihankan isteri.
“Hakikatnya, isteri seronok ada anak ramai dan itu sifat penyayang serta keibuan yang Allah SWT hadirkan dalam dirinya. Dia gembira dan sebagai suami, saya sentiasa ada untuknya malah kami bahagia kerana pergi mana sekalipun akan bersama
"Rezeki ada anak ramai ini Allah SWT yang atur jadi siapa kita nak menidakkan pemberianNya kerana sebagai hamba, saya hanya mampu berusaha, berdoa dan tawakal," ujarnya.
Berkongsi mengenai keadaan Rosnida, Shamsuri memaklumkan isterinya kini sedang melalui proses berpantang dan dia yang mengambil alih kerja menguruskan anak serta urusan kerja rumah.
"Tiada istilah kekok, ini bukan kali pertama sudah 12 anak. Anak sulung pun sudah berumur 20 tahun dan yang lain pun sudah membesar jadi mereka banyak membantu jaga adik mereka.
"Saya tak paksa tapi mereka yang seronok dan ringan tulang nak membantu.
"Setakat ini tak ada masalah kerana semuanya dipermudahkan kerana apa pun, kami bersama dan membantu satu sama lain. Saya pun ada 13 adik beradik, sudah biasa dalam keluarga ramai jadi tak ada masalah pun," katanya.
Dalam pada itu, Shamsuri memaklumkan bahawa jika diizinkan Allah SWT, dia dan isteri tidak menolak untuk menimang cahaya mata lagi di masa akan datang.
"Selepas kongsi mengenai kelahiran anak ke-13, sudah ada yang komen di TikTok mengenai anak ke-14 tapi saya anggap kata-kata mereka itu sebagai satu doa. Kita usaha dan merancang tapi perancangan Allah SWT tentunya lebih baik.
"Sebagai suami, saya sentiasa mendoakan isteri dapat jadi ibu terbaik dan tabah menempuh dugaan yang datang. Semoga kelahiran Mujahid (anak) kami itu, rezeki kami sekeluarga diperluaskan," kongsinya.
Tahun lalu, Shamsuri dan isteri pernah tular apabila mereka selamat menimang cahaya mata yang ke-12.
Sehinggalah pada penghujung November lalu, Shamsuri dan isteri sekali lagi menyorot perhatian ramai apabila mereka dikurniakan anak yang ke-13.
Sumber: Harian Metro