Gegar Vaganza 7
6 Bulan Tak Bayar Sewa, Ashira Dihalau Keluar Dari Rumah! - "Saya Tak Ada Income, Macam-Macam Buat Sampai Live Di Bigo Tapi ..."
Penyanyi yang popular menerusi lagu Di Ombak Resah, Ashira terpaksa menumpang berlindung di rumah kakaknya selepas dihalau keluar dari rumah sewanya sehari selepas mendapat berita layak menyertai Gegar Vaganza 7 (GV7).
Cerita Ashira sebak, dia akur dengan arahan pemilik rumah sewanya setelah dia gagal membayar duit sewa sebanyak RM1,200 selama enam bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada Mac lalu.
"Sejak PKP kehidupan saya tak berapa baik dan hilang punca pendapatan. Sebelum ini, saya menyanyi di sebuah kelab malam tapi sekarang kan tak dibenarkan buka sebab itu saya tak ada income.
Advertisement
"Saya ada cuba pelbagai cara untuk survive dengan menjual laksa dan tolong kawan berniaga secara online tapi nampak gayanya semua tak menjadi dan saya cuba benda lain juga... buat live di Bigo.
"Dapat la duit sikit untuk bayar bil elektrik dan air tapi masih tak lepas bayar sewa rumah. Setengah tahun juga saya tak mampu nak bayar. Kalau ada duit lebih pun saya boleh bayar dalam RM100 macam itu.
"Allah beri dugaan... sehari selepas dapat berita saya layak masuk GV7, saya diminta keluar dari rumah itu dan hari ini (Selasa) merupakan hari terakhir saya perlu serahkan kunci," katanya kepada Gempak.
Tambah pemilik nama sebenar Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 35, dia hanya tinggal berdua bersama anak lelakinya, Megat Shazril Haziq Hadi, 14, selepas bercerai dengan suaminya lima tahun lalu.
"Buat sementara ini, saya menumpang di rumah kakak tapi terpaksa berpisah dengan anak saya. Dia terpaksa tinggal di rumah kakak saya lagi seorang sebab rumah yang saya duduk ini tak cukup ruang untuk dia.
"Saya betul-betul rasa down dan hilang keyakinan. Nak kata kemurungan, saya tak tahu la tapi ada ketika saya akan tiba-tiba menangis dan terfikir apa kesalahan besar yang saya lakukan sampai diduga sebegini.
"Satu persatu saya ujian menimpa saya. Cikgu sekolah Shazril pula beritahu sejak akhir-akhir ini anak saya nampak seperti tertekan. Dia tak pernah kongsi perasaan dengan saya mungkin sebab dia pendam.
"Kalau boleh, saya tak nak anak saya tertekan dan berusaha untuk dia tak terlibat dalam masalah yang saya sedang hadapi ini," ujarnya.
Ashira ditemui ketika sidang media memperkenalkan 14 peserta program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh di Envi Skydining, Aras 36, Menara Ta One, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur pada Selasa.
Teruskan menonton GV7 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.
Must-Watch Video