Artis Korea
“11 Tahun Yang Gembira…” – Lee Kwang Soo Akhirnya Ucap Selamat Tinggal Running Man
Pelakon Korea, Lee Kwang Soo akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada program Running Man secara rasmi.
Kwang Soo menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagramnya menyatakan rasa gembira sepanjang bersama Running Man selama 11 tahun.
Coretan itu turut dimuat naik bersama foto Kwang Soo beraksi dalam salah satu babak Running Man.
“Semuanya sudah dianggap seperti keluarga termasuklah kakitangan produksi. Terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kami.
“Selama 11 tahun kebelakangan ini saya telah menerima ‘cinta’ daripada anda semua yang adakalanya membuatkan saya rasa tidak layak untuk menerimanya.
“Saya telah membuat begitu banyak kenangan manis dan gembira pada setiap minggu. Dalam apa-apa cara sekalipun, saya rasakan masih tidak cukup untuk saya mengucapkan kata-kata terima kasih.
“Dengan tulus ikhlas, saya ingin mengucapkan terima kasih dan saya sangat sayangkan anda semua,” coretnya.
Terdahulu, Running Man mula ditayangkan pada 11 Julai 2010 dan anggota asalnya adalah Yoo Jae Suk, Jee Seok Jin, Kim Jongkook, HaHa, Song Ji Hyo, Kang Gary, Lee Kwang Soo, Song Joong Ki dan Lizzy.
Kini Running Man ditambah dengan dua ahli baru iaitu Jeon So Min dan Yang Se Chan selepas ketiadaan Song Joong Ki, Lizzy, serta Kang Gary.
Bagaimanapun pada 27 April lalu, Kwang Soo juga telah membuat keputusan mengejut apabila memilih untuk mengundurkan diri dari Running Man selepas 11 tahun bersama.
Keputusan itu dibuat kerana Kwang Soo memerlukan masa untuk pemulihan selepas mengalami kecederaan di bahagian buku lalinya akibat kemalangan tahun lalu.
Episod akhir Running Man bersama Kwang Soo akan ditayangkan pada Jumaat, 18 Jun 2021, jam 11 malam di ONE (saluran 393).
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU
Must-Watch Video