Program Korea terkenal Running Man dikecam netizen kerana menggunakan peralatan gelang getah dalam salah satu segmen permainan.

Episod terbaharu program itu memaparkan segmen permainan yang diberi nama Rubber Band Frog di mana anggota Running Man dan tetamu jemputan dikehendaki menggunakan gelang getah untuk melilit bahagian wajah mereka.

Untuk memenangi permainan itu, pemain haruslah menahan sakit dengan memakai seberapa banyak gelang getah di bahagian wajah mereka.

Jumlah yang paling banyak adalah mencecah sehingga 36 utas gelang getah di wajah pemain.

Misi itu melibatkan anggota Running Man iaitu Song Ji Hyo, Jeon So Min dan Yang Se Chan, manakala untuk tetamu jemputan pula adalah anggota kumpulan K-Pop terkenal SEVENTEEN, Mingyu dan Hoshi.

Sebaik sahaja memulakan misi, Se Chan tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut dengan kekuatan gelang getah yang menekan bahagian mukanya.

Se Chan juga memaklumkan tindakan itu lebih menyakitkan berbanding apa yang difikirkan sebelum memakai gelang getah tersebut.


Malah So Min juga terpaksa menahan sakit dan menggambarkan seolah-olah biji matanya akan terkeluar kesan daripada tekanan gelang getah yang ketat itu.

Hasil permainan itu So Min berjaya mengumpulkan 36 utas gelang getah, Ji Hyo dengan 33 utas dan Se Chan 30 utas.

Namun lain pula jadinya apabila netizen tidak selesa dengan permainan itu dan mengecam pihak produksi Running Man.

Rata-ratanya menggambarkan perasaan marah mereka dengan tindakan pihak produksi yang tidak peka kerana permainan itu boleh membahayakan anggota Running Man dan juga tetamu jemputan.

Perkara itu juga membuatkan Running Man menjadi trending di media sosial buat seketika.

Antara kecaman yang diterima termasuklah:

“Melampaunya kali ini! Permainan Running Man sekarang semakin bahaya!”

“Gila ke? Tak nampak ke muka Ji Hyo dengan So Min tengah tahan sakit?”

“Tak faham mengapa pihak produksi perlu wujudkan permainan yang menyakitkan seperti ini semata-mata untuk misi?

“Okay ini tidak kelakar! Ini namanya mengarut!

Bagaimanapun pihak produksi Running Man masih belum memberikan sebarang respon mengenai hal berkenaan.

Jangan lupa saksikan episod baru Running Man, setiap Jumaat, jam 11:00 malam di ONE (saluran 393).

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai K-Drama dan dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU