Nama pelakon Korea, Lee Min Ho menjadi trending selepas berita mengenai hubungan cintanya bersama bekas anggota kumpulan K-Pop, Momoland iaitu Yeonwoo didedahkan.

Berita itu didedahkan oleh portal eksklusif Korea, Dispatch hari ini.

Tidak hanya dakwaan kosong, Dispatch juga turut mendedahkan beberapa bukti bergambar yang merakamkan pasangan ini bersama.

Bagaimanapun selepas berita itu didedahkan, agensi Lee Min Ho iaitu MYM Entertainment menafikan dakwaan tersebut.

“Lee Min Ho dan Yeonwoo hanyalah kenalan biasa dan mereka tidak bercinta,” jelas wakilnya ringkas.

Pihak MYM Entertainment juga turut menjelaskan mengenai foto-foto di bahagian tempat letak kereta yang dirakamkan oleh Dispatch itu.

“Mereka tidak menonton filem bersama secara berdua-dua sahaja, sebaliknya ada rakan-rakan yang lain juga. Gambar itu menunjukkan seperti itu (tetapi ia tidak benar),” jelas wakilnya.

Dalam pada itu pihak agensi Yeonwoo, MLD Entertainment masih cuba untuk mendapatkan kepastian daripada pihak perempuan.

“Buat masa sekarang Yeonwoo masih lagi menjalani penggambaran drama jadi agak sukar untuk kami mendapatkan kepastian daripadanya. Kami masih lagi dalam proses berkenaan,” jelas wakilnya.

Terdahulu, Dispatch melaporkan Min Ho dan Yeonwoo telah menjalinkan hubungan cinta selama lima bulan.

Untuk info: Dispatch yang dikenali sebagai portal eksklusif Korea telah membina reputasi sebagai salah satu sumber untuk berita terkini dan foto paparazzi selebriti Korea.

Sejak tahun 2008, Dispatch terkenal bukan sahaja sebagai sumber berita eksklusif tetapi juga sebagai syarikat media yang pakar dalam meneliti dan mencari maklumat mengenai peristiwa kontroversi selebriti Korea.

Sebagai acara tradisi, Dispatch akan mendedahkan pasangan-pasangan selebriti popular yang bercinta setiap kali tiba tahun baharu.

Tahun lalu, Dispatch mendedahkan EXO Kai dan Jennie menjalin hubungan cinta dan berita itu kemudiannya disahkan oleh agensi Kai, SM Entertainment.

Namun selepas sebulan berita itu didedahkan, pasangan ini dilaporkan berpisah setelah empat bulan menjalinkan hubungan cinta.

Awal tahun ini, Dispatch juga telah mendedahkan hubungan cinta pelakon drama terkenal, Crash Landing On You, Hyun Bin dan Son Ye Jin.

BACA: Impian Peminat Jadi Nyata! Pasangan Crash Landing On You, Hyun Bin, Son Ye Jin Sah Bercinta

Manakala pada 24 Februari lalu, Dispatch juga mendedahkan hubungan cinta Jennie dan G-Dragon.

BACA: FOTO: Power Couple! Jennie BLACKPINK Dan G-Dragon Bercinta

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU

Kredit foto: Dispatch / Google