Adik kepada bekas anggota kumpulan Girl Generation Jessica, Krystal memilih untuk meninggalkan agensinya, SM Entertainment selepas bersama selama 10 tahun.

Menurut laporan eksklusif Ilgan Sports, Krystal yang juga merupakan anggota kumpulan f(x) sedang membuat persiapan untuk meneruskan kehidupan dan kerjayanya di tempat baharu.

Laporan itu juga menjelaskan Krystal telah pun bertemu dengan beberapa agensi baharu namun masih belum membuat sebarang keputusan lagi.

Difahamkan Krystal sedang mencari agensi yang boleh memberikan sokongan terhadap dunia lakonan dan juga perancangannya dalam bidang nyanyian.

Bagaimanapun SM Entertaiment memberitahu pihak mereka akan mengadakan perbincangan bersama Krstal terlebih dahulu.

“Kontrak eksklusif kami bersama Krystal bakal tamat pada penghujung Ogos. Kami bagaimanapun akan mengadakan perbincangan bersama Krystal mengenai pembaharuan kontrak,” jelas wakil SME.

Terdahulu dua anggota f(x) lain iaitu Amber dan Luna juga mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak dengan SME pada tahun lalu.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai K-Drama dan dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU

Sumber: Koreaboo