Pelakon terkenal Korea, Song Joong Ki mengumumkan telah berkahwin dengan wanita pilihan hatinya iaitu Katie Louise Sauders.

Berita gembira itu dimaklumkan sendiri oleh Joong Ki menerusi laman web kelab peminatnya (fan cafe) hari ini.

“Saya ingin berkongsi tentang perkara penting dan janji yang bahagia dalam hidup saya dengan anda semua.

“Saya telah berjanji kepada Katy Louise Saunders yang sentiasa berada di sisi dan menyokong saya untuk menghabiskan sisa hidup saya bersamanya.

“Dia memiliki hati yang baik, merupakan seorang wanita yang bijak, hebat yang amat saya kagumi. Terima kasih kepadanya kerana dia, saya menjadi orang yang lebih baik,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Joong Ki juga memaklumkan bahawa keluarga kecil mereka bakal dimeriahkan dengan kehadiran cahaya mata tidak lama lagi.

“Sememangnya, kami bermimpi untuk mewujudkan keluarga bahagia bersama. Kami telah meletakkan banyak usaha untuk memenuhi janji masing-masing. Kami juga sangat bersyukur kerana satu kehidupan baru telah hadir dalam hidup kami.

“Hari ini, berdasarkan kepercayaan dan kasih sayang yang mendalam antara satu sama lain, kami dalam perjalanan pulang dari mendaftarkan perkahwinan untuk memulakan kehidupan sebagai pasangan suami isteri.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menghargai saya walau apa pun terutamanya Ki Aile (kelab peminat Song Joong Ki) yang memberikan kekuatan terbesar kepada saya sepanjang kerjaya lakonan saya.

“Saya akan berusaha untuk terbang lebih tinggi sebagai seorang pelakon dan individu dengan tanggungjawab dan semangat yang lebih besar,” coretnya.

Terdahulu, Disember lalu Joong Ki telah mengesahkan hubungan cintanya dengan Katy Louise Saunders.

Untuk rekod, Joong Ki mendirikan rumah tangga dengan aktres popular Korea iaitu Song Hye Kyo pada 31 Oktober 2017.

Bagaimanapun pasangan ini mengambil keputusan untuk bercerai selepas hampir dua tahun berkahwin.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.