Personal Experience | Pengalaman Sendiri

#GempakSpot: "Api Marak Dan Kakak Aku Hajar Masih Lagi Berada Di Dalam..."

gempak
Gempak Spot
21/08/2020
03:38 MYT
Sponsor Banner
#GempakSpot: "Api Marak Dan Kakak Aku Hajar Masih Lagi Berada Di Dalam..."
Kisah ini dihantar oleh Ahmad S.I. untuk peraduan GempakSpot X Althea. Lima artikel terpilih akan disiarkan setiap hari mulai Isnin hingga Jumaat. Atikel yang mendapat paling banyak 'Likes' dan 'Shares' di Facebook Astro Gempak akan memenangi produk Althea bernilai RM185 dan pemenang akan diumumkan di Instagram dan Facebook Astro Gempak.
Assalamualaikum dan salam sejahtera aku ucapkan kepada semua pembaca. Terima kasih kepada admin kerana sudi untuk menerima penulisan cerita ini.
Baiklah cerita kali ini aku ingin coretkan sedikit mengenai kakak aku. Siti Hajar namanya. Tua 4 tahun dari aku. Sebagai ringkasan, aku mempunyai 6 orang adik beradik yang terdiri dari 3 lelaki dan 3 perempuan. Ini senarai adik-beradik aku mengikut tahun kelahiran. Aswat (1981), Siti Adura (1982), Siti Hajar (1983), Anuar (1985), Siti Sharidah (1986) dan aku Ahmad (1987).
Jika korang perasan umur kami adik-beradik beza cuma setahun atau dua tahun. Jadi hubungan kami agak rapat dan kami berkawan dan bermain dalam likungan kami sendiri. Kami jarang bermain dengan anak-anak jiran. Jika ada pun, cuma kadang-kadang.
Dalam ramai adik-beradik aku ini, Hajar adalah yang paling pasif. Hidup dia agak menyendiri, selalu bermain seorang, dan kurang bergaul. Pendek kata dialah paling pendiam dan tak banyak cakap. Namun, dialah yang paling penyabar dan seorang yang baik hati, sentiasa bersangka baik, dan jarang memarahi adik-adiknya.
Oleh kerana sikapnya yang agak pasif itu, Hajar sering kali dibuli dan dipulaukan. Korang jangan fikir bukan-bukan tau. Biasalah budak-budak, bila ada yang agak pasif tu, tidak akan diajak bermain sekali. Dengan kata lain ‘tak masuk genglah’. Aku yang paling kecil selalu kasihan melihat keadaan dia dipulaukan.
Namun apakan daya, aku masih kecil ketika itu. Aku hanya mengikut kumpulan yang lebih dominan walaupun hati aku sedih melihat dia dipulaukan. Miss you sister.
Namun apakan daya, kehendak takdir tiada siapa dapat melawan. Pada tahun 1992, rumah aku ditimpa musibah kebakaran nista. Habis harta benda hangus dijilat api. Dan, ya. Hajar adalah mangsa kebakaran tersebut.
Kejadian berlaku sekitar jam 1.00 pagi. Pada malam itu, cuaca malam hening. Gelap dan tenang. Tenang seperti malam-malam lainnya. Namun malam itu rumah aku blackout. Bekalan elektrik terputus. Jadi suasana dingin sepi itu agak pahit dari kebiasaan. Kebetulan pula, ayah aku tiada dirumah kerana berniaga diluar negeri. Aku tiada di rumah ketika itu kerana menginap di rumah nenek. Sementara itu, di rumah hanya ada ibu tiri aku yang menjaga adik-beradik yang lain.
Ketika itu,ibu serta semua abang dan kakak aku sedang nyenyak tidur di bilik masing-masing. Bilik ibu paling depan berdekatan ruang tamu manakala bilik yang lain menyusul ke belakang sehingga ke dapur. Dalam keadaan senyap dan sunyi berteman kegelapan malam, kakak aku Adura yang senang enak dibuai mimpi terjaga seketika dari tidurnya dek kerana terdengar sesuatu.
Adura mendengar seperti ada orang menyimbah-yimbah air di bawah rumah. Oh ya, rumah kami ketika itu adalah rumah kayu bertiang dan berdapur simen. Adura tidak menghiraukan bunyi tersebut. Apalah sangat yang difikirkan oleh seorang budak berusia 10 tahun pada zaman itu. Adura menyambung tidurnya kembali tanpa syak apa-apa.
Namun selepas beberapa ketika, ledakan bunyi percikan api kedengaran di bahagian dapur. Bunyinya seperti diratah-ratah secara perlahan. Sedikit membingit suasana. Kepulan bahang mula sedikit demi sedikit menyelubungi ruangan rumah. Ibu aku terjaga dek kerana kepanasan.
Astaffirulaahalazim!!!
Ibuku menjerit kerana terkejut melihat adanya api di tilam. Ibuku bingkas bangun dan membuka tingkap biliknya. Di gapainya tilam tersebut, cuba dilontarkan melalui tingkap tersebut. Api dengan pantas menyambar langsir. Dan ya, maraknya api kerana berpunca dari luar rumah. Ibu aku terus pengsan dan tidak sedarkan diri.
Sementara itu, disuatu sudut lain, abang dan kakak aku yang terjaga dek kerana bahang yang menghangat. Terkejut melihat adanya api di dalam ruangan rumah menyebabkan abang dan kakak aku tanpa berlengah masa mengejutkan adik-adik yang lain. Hajar telah dikejutkan dari tidur namun dia begitu liat untuk bangun. Beberapa kali dikejutkan, malah dimarahinya kerana menganggu tidur malam itu.
Abang aku Aswat kelam kabut. Bingung untuk bertindak. Ibu masih pengsan di biliknya. Aswat berlari dan bergegas ke pondok telefon berdekatan rumah untuk menelefon pihak bomba. Malangnya, panggilan budak berusia 11 tahun pada waktu sebegitu dianggap panggilan olok-olok oleh pihak bomba. Beberapa kali abang aku membuat panggilan namun menerima respon negatif. Abang aku tidak berputus asa. Dia meneruskan lagi panggilan.
Akhirnya setelah beberapa kali mencuba, panggilan terakhir berjaya diterima dan akhirnya pihak bomba mempercayai laporan abang aku. Aswat melepaskan ganggang telefon dan terus berlari meluru ke rumah kembali. Api mulai marak.
Abang aku berlari semula memasuki rumah untuk menyelamatkan adik-adik yang lain yang masih kecil, bingung, dan tidak tahu arah yang perlu dituju. Hanya Hajar yang belum bangkit dari katilnya ketika itu. Api semakin marak dan merebak. Maraknya api itu seperti telah dirancang di mana mulanya. Setelah berjaya membawa adik-adik keluar, abang aku menjerit meminta tolong pada jiran-jiran berdekatan.
Aswat berasa sedikit lega kerana telah berjaya membawa keluar adik-adik ke perkarangan rumah. Pada ketika ini, dalam keadaan kelam kabut, Aswat menyangka bilangan adik-beradik sudah cukup. Namun sangkaannya meleset sama sekali, masih kurang seorang. Dihitungnya kembali adik-adiknya. Nyata, matanya mengerling kembali ke arah rumah yang sedang diratah api itu. Ya kurang seorang.
HAJAR!!!!!
Risaunya bukan kepalang kerana selain dari ibu, adiknya Hajar masih berada di dalam. Abang aku Aswat sudah tidak berani untuk masuk meredah api yang semakin galak mengganas. Berpusu-pusu jiran keluar dari rumah-rumah mereka. Ada beberapa orang yang masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan ibu dan Hajar. Sementara abang aku menjaga adik-adik di perkarangan. Selepas beberapa ketika, kelihatan Ibu aku berjaya dipapah keluar oleh orang kampung dengan kesan terbakar di sisi bahu dan lengan. Ibu aku di baringkan di perkarangan rumah. Sesi menyelamatkan Hajar tidak dapat diteruskan kerana api sudah marak dan bilik Hajar berada di hujung sekali iaitu berdekatan dengan dapur. Orang kampung bingung. Api sudah merajai segenap ruang rumah itu. Pihak bomba belum kelihatan. Akhirnya, pengakhiran yang tidak dapat ditelan. Akhirnya Hajar tidak mampu diselamatkan. Api sudah menembusi keseluruhan rumah. Beberapa letupan berdentum beberapa kali. Semua yang melihat terkedu. Tiada apa yang mampu dilakukan lagi.
Kedengaran siren bomba memecah hiruk pikuk bunyi malam itu. Akhirnya pihak bomba sampai bagi memadamkan kebakaran. Punca kebakaran mengikut laporan bomba adalah disebabkan ubat nyamuk. Namun kami adik-beradik kami yakin ianya adalah perbuatan khianat, namun tiada yang berani membuka mulut. Telahan budak-budak, mustahil ada yang percaya bukan?
Kakak aku Hajar rentung dengan keadaan jasad yang kurang sempurna. Ada beberapa anggota badan tidak bersama jasad. Sedih sekali mengenangkan keadaan jasad kakak aku ketika itu. Bayangkan kakak aku yang berusia 9 tahun ketika itu, jenazahnya menjadi sekecil bayi berusia setahun lebih. Kecil sangat jenazahnya.
Jenazah kakak aku dibawa ke rumah nenek dan dimandikan. Aku masih ingat ketika jasad Hajar dimandikan, aku berada di beranda rumah. Rumah nenek aku adalah rumah kayu bertiang. Aku yang duduk di beranda dapat melihat air mandian jenazah jatuh ke tanah dari lantai rumah. Aku masih ingat lagi bunyi-bunyi simbahan air ketika itu.
Selesai dimandikan, kakak aku dikafankan dan dibalut dengan kain batik. Ada seseorang memapah jenazah kakak aku untuk di bawa ke tanah perkuburan. Ketika inilah aku sangat terkejut kerana saiz jenazah kakak aku seperti saiz seorang bayi. Kecil sangat. Aku melukuk di beranda sambil menutup muka. Sedih dan blur akan keadaan ketika itu.
Beberapa ketika selepas urusan perkebumian kakak aku. Dirumah nenek aku ini, tinggalnya beberapa orang sepupu aku yang nenek aku memang jaga sejak dari kecil. Salah seorang sepupu aku namanya Kak Ta. Kami memanggil dengan gelaran kak kerana jarak umur kami yang jauh berbeza. Pada waktu ini, adik-beradik aku yang lain tiada di rumah nenek. Yang ada cuma nenek dan atuk, Kak Ta serta sepupu yang lain, serta aku dan seorang lagi kakak aku Sharidah.
Untuk pengetahuan korang semua, tempat jenazah Hajar dimandikan adalah bersebelah dengan bilik Kak Ta. Suatu hari yang hening dan damai, Sharidah bermalam bersama Kak Ta dibiliknya. Bilik Kak Ta ni pintunya memang sentiasa terbuka. Hanya langsir yang dialas ganti sebagai pintu. Aku pula tidur di ruang tamu bersama atuk aku. Biasalah budak lelaki memang suka tidur di ruang tamu.
Pada ketika ini aku tidak tahu bahasa Sharidah turut serta menyaksikan jasad Hajar dimandikan dulu. Bayangkan budak-budak sekitar umur 6 tahun menyaksikan jasad kakaknya dimandikan dalam keadaan tidak sempurna. Aku pun tak pastilah kenapa dia berjiwa berani nak tengok. Baiklah back to the story.
Malam itu Sharidah tidur di dalam bilik bersama Kak Ta dan menjadi tabiat kami 6 beradik jika tidur akan tutup muka dengan bantal. Lebih selesa dan lebih rasa selamat berbanding berselubung selimut satu badan. Malam itu tenang. Budak-budak seperti kami memang tidur awal. Aku sudah melayang ke mana di ruang tamu. Kak Ta pula macam biasalah sudah mendamaikan mimpi-mimpi indah. Sharidah turut serta tidur awal.
Namun, sekitar jam 2.00 pagi Sharidah terjaga. Dibukakan matanya. Celiknya dia seolah-olah sudah selesai tidur 8 jam. Sharidah melihat ke sisi. Dilihatnya Kak Ta sedang enak tidur membuai perasaan. Suasana sepi. Sunyi, tiada hiruk pikuk bunyi bising malam itu. Tidak lama selepas itu, suasana sedikit bahang. Seolah-olah ingin hujan malam namun memberikan sedikit suasana panas.
Sharidah tidak dapat lelap. Dipejamkan matanya. dipejam berkali-kali. Namun keringat matanya degil. Segar semacam rasanya. Ditambah pula suasana bahang sedikit membantutkan modenya untuk tidur. Sedang elok Sharidah melayan perasaan, terasa seperti angin lalu. Ya. Angin-angin pertama untuk mulai hujan.
Namun diluar tiada bunyi guruh atau deruan angin nakal di pokok-pokok. Tanpa disedari buaian angin-angin lalu itu telah meyebabkan langsir bilik tersebut turut terselak sedikit demi sedikit. Sharidah liar memandang ke arah langsir tersebut. Terselaknya langsir menyebabkan dia boleh melihat suasana di luar bilik. Suasana diluar bilik agak suram namun masih jelas kelihatan. Ini kerana nenek aku selalu memasang lampu jaga.
Nenek aku tidak akan biarkan suasana gelap satu rumah. Mesti ada satu lampu dibiarkan hidup. Tiba-tiba, Sharidah yang baring di katil sambil kakinya menghala ke pintu bilik terkedu sendiri disitu. Mata Sharidah tajam memerhati suatu susuk di luar bilik. Dibulatkan matanya berkali-kali bagi memastikan apa yang dilihatnya ketika itu.
Ya Allah!!!!!!
Arwah Kak Hajar. Berdiri kaku betul-betul di sisi pintu bilik. Angin lembut datang lagi. Berkali-kali langsir bilik terselak dek kerana angin yang berlalu. Wajah Sharidah sugul. Terkedu. Melihat akan keadaan arwah. Ya. Sharidah melihat keadaan arwah dalam keadaan rentung hitam pekat. Seperti mana dia melihat ketika hari urusan jenazah tempoh hari, begitulah dia melihat malam ini.
Sharidah kaku. Sedikit pun tidak bergerak. Ingin sekali tangannya mencapai bahu Kak Ta di sebelah. Untung nasib Kak Ta bangun. Tapi dia terlalu takut. Sharidah kaku di situ. Hanya bantal di mukanya sebagai peneman. Dia tidak boleh membayangkan, sedangkan orang lain sedang enak tidur, dia terpaksa berjaga dan memerhatikan suatu susuk yang sedang memerhatikan. Pada fikiran dia akan menjerit sekuatnya jika susuk itu masuk ke dalam bilik.
Ngeri, takut, trauma. Semua bercampur baur ketika itu. Sharidah menutup muka dengan bantal. Melilau dia dalam kelemasan. Peluh mula berkeringat. Sharidah ketakutan. Diselaknya bantalnya perlahan-lahan. Susuk itu masih berdiri tegak disitu. Dan yang pasti merenung tepat ke arahnya. Arghhhhhhhhhhhhhhh. Sharidah bingit. Keras dan kaku.
“Kak Ta… Tolooooooong lah bangun…” bisik hati kecilnya.
Kak Ta tiada apa respon ketika itu. Sekali sekala bergerak tapi gatal menghempas nyamuk seraya kembali nyenyak seperti sedia kala. Sharidah bingung. Entah apa harus dilakukan. Namun, dalam menahan ketakutan malam itu Sharidah tertidur sendiri.
Pada keesokkannya seusai sarapan pagi, Sharidah memanggil aku di ruang tamu. Dia bertanya adakah aku akan percayakan dia dengan apa yang dia bakal sampaikan. Aku sebagai adik biasanya mengangguk tanda percaya. Sharidah ceritakan kepada aku apa yang berlaku semalam. Seriau aku mendengar namun sedikit rakus ingin tahu.
“Macam mana rupa Hajar… Boleh tak lukis?" sambil aku menghulur pen dan buku conteng.
Sharidah melukis bahagian wajah. Tekun. Perlahan-lahan dilukisnya. Namun belum habis dia siapkan lukisan tersebut, aku bingkas bangun dan bergegas berlari ke dapur dan diikuti Sharidah sendiri. Aku dan Sharidah tinggalkan lukisan itu di ruang tamu kerana takut untuk melihatnya. Dan kisah ini, hanya aku dan Sharidah sahaja yang tahu.
P/S: Mohon maaf jika cerita agak melalut diawalnya. Aku cuma ingin memberi gambaran pendek tentang kisah kakak aku Hajar. Sementelah cerita ini telah disunting agar sesuai untuk dibaca umum. Al Fatihah for my sister. I always miss you.
Kredit Gambar: Google
Kisah ini dikongsi oleh Ahmad S.I. untuk peraduan GempakSpot X Althea. Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyertai peraduan GempakSpot X Althea, hantarkan karya anda sekarang sebelum tarikh tutup peraduan pada 25 Oktober 2020 ke GempakSpot
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024