Personal Opinion | Pendapat Peribadi
#GempakSpot: Awalnya Perasaan Kami Berbelah Bahagi Untuk Ke New Zealand, Tetapi...
Tinggal dua hari lagi perjalanan kami sekeluarga ke Auckland, New Zealand. Masih ada sedikit perasaan berdebar-debar, tapi mungkin lebih kepada keterujaan untuk ke sana.
Hampir seminggu saya tidak senang duduk. Kami sekeluarga, saya, suami beserta dua orang anak sudah merancang lama untuk ke New Zealand. Ini kali pertama saya ke sana.
Anak-anaklah yang paling excited sebab ingin melawat rumah 'Frodo' dan bermacam-macam aktiviti lagi yang kami rancang sekeluarga. Walaupun ketika membeli tiket penerbangan, cuti sekolah begitu jauh lagi tetapi mereka semua seolah tidak sabar.
Peristiwa kejam yang berlaku di Chirstcurch menyebabkan saya dan suami sedikit tersentak. Pembunuhan beramai-ramai di masjid! Innalillah. Suasana teruja di rumah kami berubah menjadi suram.
Walaupun ramai yang mengatakan Auckland dan Christchurch itu jauh, tetapi bila berada di negara yang sama tentu perasaan takut pasti ada. Bimbang dengan anak-anak yang masih muda. Anak sulung saya berumur sembilan tahun dan anak kedua berumur tujuh tahun.
Tempahan untuk ke tempat-tempat menarik telah dibuat lebih awal. Banyak juga duit yang kami pakai tetapi apabila berbincang dengan suami, soal duit jatuh nombor lima atau enam. Yang penting keselamatan keluarga kami.
Seminggu melihat berita dan membaca cerita tanpa henti tentang pembunuhan masyarakat Islam sebelum solat Jumaat di Christchurch minggu lalu.
Daripada ketakutan dan hampir membatalkan percutian kami, perasaan itu semakin hari semakin hilang. Melihat rasa hormat Perdana Menteri New Zealand dengan masyarakat Islam di sana, serta penduduk-penduduk yang bukan beragama Islam turut memberikan sokongan, seolah-olah bebanan di bahu kami seperti diangkat dan dibuang.
Azan dilaungkan di seluruh New Zealand. Bacaan ayat Al-Quran dibaca di dalam parlimen, wanita-wanita di New Zealand memakai tudung tanda sokongan, dan mereka yang bukan Islam turut mendengar bacaan khutbah Jumaat. Semua itu memberikan petanda buat kami bahawa dengan izin Allah, perjalanan kami nanti akan selamat.
Saya harapkan tiada perkara yang tidak baik berlaku pada keluarga kami. Tetapi pada masa yang sama saya berasa selamat mengetahui bahawa masyarakat di New Zealand memberikan sokongan yang tinggi kepada penganut agama Islam di sana.
Al-Fatihah dan salam takziah buat semua keluarga mangsa yang terkorban. Doa saya dan keluarga, semoga mereka semua mendapat syuhada. Doakan juga perjalanan kami untuk bercuti seperti yang kami harapkan.
Suami ada menyatakan hasratnya untuk terbang ke Christchurch dari Auckland untuk melawat masjid di sana. Mungkin boleh memberikan iktibar kepada kami sekeluarga terutama anak-anak yang sedang membesar.
Maaf, saya tidak ada gambar untuk disertakan. Harap sangat pihak tuan/puan dapat memilih gambar yang bersesuaian dengan cerita yang saya sampaikan. Terima kasih kerana memberi ruang kepada kami untuk meluahkan pendapat dan perasaan. Saya cuba tulis di status Facebook saya tetapi terlalu panjang.
Wassalam
Kredit Gambar: Google
Syarifah Haneesah Syed Azri adalah penulis bebas untuk artikel di atas. Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]
Must-Watch Video