,
Personal Experience | Pengalaman Sendiri

#GempakSpot: "Cikgu Tolong Tengok Iskandar Ya. Iskandar Dah Tak Ada Ayah"

Gempak Spot
11/09/2020
01:00 MYT
Baca perkongsian seorang Cikgu di Facebook miliknya, Mohd Fadli Salleh tentang anak muridnya yang begitu menyayangi seorang Cikgu. Cikgu Mohd Fadli merupakan seorang guru yang sangat mengambil berat tentang anak murid di sekolahnya.
Ini Iskandar. Anak yatim yang kematian ayah bertahun-tahun sudah. Tahun lepas, Iskandar bersungguh-sungguh nak sambut hari lahir aku. Berpakat dia dengan seluruh murid dalam kelas kumpul duit RM3 seorang hanya untuk menyambut hari lahir aku di sekolah.
Sebaik aku masuk kelas nak mengajar macam biasa, murid-murid buat surprise menyanyi lagu Happy Birthday dan menarik tangan aku ke belakang untuk memotong kek.
Iskandar setia duduk di sebelah aku. Perlahan dia berbisik, "Cikgu. Saya ada hadiah untuk cikgu. Tapi jangan buka sekarang. Saya malu".
Malu-malu dia mengeluarkan satu kotak kasut terpakai yang disorok dibelakang badan kemudian menyerahkan pada aku. Lepas tu cepat-cepat dia lari menyorok dibelakang kawan-kawan yang lain.
"Iskandar! Meh sini," panggil aku.
Patuh dia. Terus datang ke mari.
"Terima kasih atas hadiah ini. Cikgu sangat hargainya. Meh duduk sini sebelah cikgu. Makan sama-sama. Cikgu nak suapkan awak".
"Eh tak nak la cikgu. Malu," balasnya.
"Nak malu apa nya? Meh duduk sini," ujarku lagi. Akhirnya Iskandar patuh. Datang dengan segan. Segan juga bila aku suapkan makan. Namun jelas terpancar dia sangat gembira.
Teringat aku setiap kali Hari Terbuka, hari di mana ibubapa datang ke sekolah bertemu guru. Ibunya akan datang cari aku walau aku bukan guru kelas Iskandar. Ibunya agak berusia, Iskandar ini anak bongsu.
Setiap kali jumpa aku, ibunya mesti menitis air mata.
"Cikgu. Tolong tengok Iskandar ya. Iskandar dah tak ada ayah. Lama sudah. Acik la ibu, acik la ayah selama ini.
Namun sejak cikgu ajar kelas dia, cikgu belikan baju untuk dia, belikan kasut, beli seluar, belanja makan, hari-hari Iskandar pulang dia akan bercerita tentang cikgu.
Dia sangat sayang dan hormat pada cikgu. Balik rumah mesti akan cerita, 'Cikgu Fadli itu. Cikgu Fadli ini'. Kena marah pun dia cerita, cikgu tak datang sekolah pun dia cerita. Suka betul dia pada cikgu. Cikgu tolong la ajar dia elok-elok ya. Dia dah tiada ayah untuk mengadu," kata si ibu sambil mengelap air mata.
Aku mengangguk faham. Memang selama ini semua anak-anak yatim dan miskin di sekolah ini dibawah radar aku sentiasa.
Setiap akhir tahun, set pakaian lengkap serba baharu aku akan belikan. Beg sekolah lagi. Aku cari dana bantuan untuk bantu masa raya dan sentiasa ada sahaja kiriman sedekah buat mereka sepanjang tahun.
Sebaik pulang ke rumah, baru aku buka hadiah yang Iskandar bagi. Dalam kotak itu ada mainan terpakai sahaja. Ada monyet, ada lori mainan dan sikat perapi.
Agaknya anak sebesar ini tidak tahu nak beri apa. Tiada pula duit nak beli hadiah berjenama. Maka dia main ambil sahaja mainan yang ada di rumah letak dalam kotak. Agaknya begitu.
Punya dia nak gembirakan aku. Punya dia ingin hadiahkan aku sesuatu sempena hari lahir aku. Sebak sungguh masa buka kotak hadiah ini.
Dan tahun ini, aku mencari-cari wajah Iskandar dicelahan ratusan wajah murid lain namun tak ketemu. Dari awal tahun mencari, sehingga aku mendapat khabar bahawa Iskandar sudah pun berpindah ke Perak.
Tanpa sempat kami bertemu untuk mengucap selamat tinggal, Iskandar hilang begitu saja. Semoga Iskandar terus maju jaya ditempat baharu. Dan semoga Iskandar membesar menjadi anak yang soleh, berjaya dan berjasa suatu hari nanti.
Ingat selalu pesan cikgu, "Cikgu tak kisah jika suatu hari nanti kalian lupa nama cikgu, lupa wajah cikgu. Cikgu cuma hendak kalian sentiasa ingat, saat kalian hari ini anak yatim, saat hari ini kalian dari keluarga miskin, ada orang asing yang tiada hubungan persaudaraan pun dengan kalian datang membantu.
Saat kalian membesar kelak, jadilah seperti orang itu. Membantu sesiapa sahaja tanpa syarat. Sentiasalah sebarkan kebaikan dan kasih sayang".
- Kasih tanpa ikatan -
Kredit Gambar: Mohd Fadli Salleh
Perkongsian ini dikongsi oleh cikgu Mohd Fadli Salleh di akaun Facebook miliknya dan mendapat lebih 2,700 perkongsian dan lebih 32,000 Likes. Beberapa perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyertai peraduan GempakSpot X Althea, hantarkan karya anda sekarang sebelum tarikh tutup peraduan pada 25 Oktober 2020 ke GempakSpot
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Berita

49 Pelajar Sakit Perut Keracunan Makan Di Sekolah

gempak
29/09/2024
04:31 MYT
Seramai 49 pelajar di sebuah sekolah menengah di Membakut, Beaufort, Sabah mengalami sakit perut dipercayai akibat keracunan makanan pada Rabu lalu.
Berita

Tekan Dada Murid Guna Lutut, Guru Pusat Pendidikan GISB Dipenjara 10 Tahun

gempak
26/09/2024
05:22 MYT
Tindakan seorang guru menekan dada murid menggunakan lutut dan merotan tiga kanak-kanak di sebuah pusat pendidikan dan kebajikan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen pada Khamis, menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun.
Berita

'Abang Bas' Didakwa Lagi Di Mahkamah, Sempat Tunjuk 'Mini Love'

gempak
12/09/2024
05:30 MYT
Pemandu bas yang ditahan selepas memuat naik rakaman video penumpangnya yang merupakan murid sekolah rendah sebagai orang kesayangan atau 'crush' sempat memberikan 'mini love' di Mahkamah Sesyen Batu Pahat, pada Khamis.
Viral

Momen Buah Mangga Untuk 'Pak Long' Runtun Hati Warganet

gempak
18/08/2024
07:55 MYT
Bukan setakat kasih sayang seorang guru, malah karakter seorang guru besar lelaki di salah sebuah sekolah rendah di negara ini turut disifatkan seperti seorang ayah.
Berita

Himpunan #KamiMahuAir: Bersih Seru Kerajaan Tegakkan Keadilan Untuk Guru, Pelajar Yang Ditahan

gempak
18/06/2024
21:34 MYT
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyeru Kerajaan Perpaduan menegakkan hak asasi terhadap seorang guru dan lapan pelajar Sekolah Alternatif di Sabah yang dipercayai ditahan semasa himpunan #KamiMahuAir Jumaat lalu.
BorakSeeni