Personal Experience | Pengalaman Sendiri

#GempakSpot: “Dua Hati Yang Tersakiti”

gempak
Gempak Spot
18/08/2020
02:00 MYT
Sponsor Banner
#GempakSpot: “Dua Hati Yang Tersakiti”
Kisah ini dihantar oleh Ella untuk peraduan GempakSpot X Althea. Lima artikel terpilih akan disiarkan setiap hari mulai Isnin hingga Jumaat. Atikel yang mendapat paling banyak 'Likes' dan 'Shares' di Facebook Astro Gempak akan memenangi produk Althea bernilai RM185 dan pemenang akan diumumkan di Instagram dan Facebook Astro Gempak.
Aku menangis. Air mata yang terpendam selama ini berlinangan di pipi.Tidak kusangka bahawa mainan fikiran yang menghantui aku selama ini akhirnya menjadi kenyataan. Hatiku sakit bagai ditusuk sembilu. Aku tahu ini tidak mudah tetapi kugagahkan hati untuk menyatakan segala yang aku rasakan selama ini. Namun satu hal yang pasti, ini pengakhiran yang baik buat diriku juga dirimu.
4 tahun bersamamu ibarat baru kelmarin kita bertemu. Masa berlalu begitu pantas. Terkadang gelak tawa dan gurau sendamu seperti bermain-main di kotak fikiranku. Realiti terasa bagaikan fantasi. Namun kusedari ini bukanlah sekadar fatamorgana. Hari demi hari berlalu, aku berfikir, apakah kau akan baik saja tanpa diriku? Kerana hati ini terasa kosong tanpa kehadiranmu di sisi.
Hakikatnya, perasaan yang kita berdua rasakan hanyalah sekadar cinta monyet seperti yang dikatakan oleh kebanyakan orang. Aku telah diperingati bahawa hubungan ini tidak akan bertahan tetapi aku tetap berkeras untuk membuktikan mereka salah. Aku egois. Aku naif. Aku hanyalah seorang remaja yang baru belajar erti cinta. Aku cuma seorang remaja yang baru belajar erti tanggungjawab.
Satu hal yang tidak pernah dapat aku lupakan ialah saat kau berubah hati. Lelaki yang aku kenal 4 tahun lepas bukanlah lelaki yang aku nampak pada hari ini. Mengapa kau bersikap begitu dingin terhadapku? Aku buntu memikirkan salahku tetapi kau memperlakukan aku seolah kau tidak pernah mengenali aku. Adakah kau telah bertemu dengan seseorang yang menepati definisi 'sempurna' bagimu? Aku sendiri bingung.
Aku sudah menjelaskan semuanya tetapi aku tetap salah di matamu. Apa yang kau inginkan dariku? Selama ini kita bersama kau tidak pernah meninggikan suara padaku. Mengapa kali ini kau melakukannya? Kau pernah berkata bahawa kau tidak akan pernah membiarkan setitik pun airmataku jatuh keranamu, tetapi mengapa ketika aku menangis kau sedang mengenali orang lain? Persoalan yang timbul di dalam benakku itu tidak pernah bertemu jawaban. Pilu yang kurasakan pada saat itu hanya Tuhan yang tahu.
Aku juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Perkara sekecil zarah kau ingin besar-besarkan sehingga kelihatan seperti kau yang menjadi mangsa keadaan. Kau memanipulasi situasi sehingga orang lain berfikir bahawa akulah watak antagonis di dalam kisah kita. Aku kecewa. Aku kecewa kerana selama ini aku berfikir bahawa kaulah yang terbaik untukku. Malangnya tidak. Itu tidak benar sama sekali. Lelaki yang baik tidak seharusnya bersifat terlalu mengongkong. Adil bagimu tak semestinya adil bagiku.
Pada hari ini, aku adalah orang yang baharu. Aku bukanlah perempuan yang lemah seperti dulu. Aku belajar dari kesilapan. Aku bangkit dari masa lalu yang menyakitkan. Kini, aku lebih matang dan terbuka untuk menerima pandangan orang sekeliling kerana aku tidak mahu kisah lama berulang kembali. Aku berasa bahawa itulah keputusan terbaik yang pernah aku buat sepanjang aku mengenalimu.
Ketahuilah bahawa aku tidak menyimpan dendam terhadapmu. Cukup sekadar kau tahu bahawa aku sentiasa mendoakan yang terbaik untukmu.Terima kasih untuk cinta dan kenangan yang kita kongsikan bersama. Biarlah kita mencari tahu jalan yang terbaik untuk diri kita, walaupun tidak sehaluan. Aku percaya bahawa segala yang terjadi ada hikmahnya. Serahkan saja semua pada yang Maha Esa.
Kredit Gambar: Ella
Nota: Gambar utama sekadar hiasan
Kisah ini dikongsi oleh Ella untuk peraduan GempakSpot X Althea. Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyertai peraduan GempakSpot X Althea, hantarkan karya anda sekarang sebelum tarikh tutup peraduan pada 25 Oktober 2020 ke GempakSpot
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live